ZAKARIA AB RAHIM
Pengurus Pasukan
1 Jun 2008 -
Zakaria Ab. Rahim, bekas pegawai kanan sumber manusia sebuah syarikat di Johor dan pernah bermain di beberapa kelab amatur Manchester, England, dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak Selangor yang baru - jawatan yang pertama secara sepenuh masa di Malaysia.
Anak jati Keramat, Kuala Lumpur berusia 40 tahun ini yang turut mewakili beberapa pasukan belia Selangor pada 1990-an itu mengetepikan tujuh lagi calon yang disenarai pendek oleh panel penilai Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada April lalu.
Zakaria dilantik secara kontrak dua tahun dan akan mengendalikan bukan sahaja pasukan Liga Malaysia Selangor tetapi juga meliputi Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) dan Piala Belia (Bawah 19 Tahun) serta Akademi FAS dengan tugasan pertama menantinya ialah Piala Malaysia yang bermula esok.
Pelantikannya yang mengisi kekosongan ekoran peletakan jawatan Datuk Satim Diman pada Mac lalu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad di Yayasan FAS, Kelana Jaya, semalam selepas mendapat restu Presiden yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

