Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.08.04

Public Bank 1 Selangor 0 (Piala Malaysia)

Oleh: Berita Harian

Calon juara Piala Malaysia, Public Bank Selangor meraih tiga mata penuh sebagai tangkal semangat untuk menggapai sasaran awal melangkah ke perlawanan akhir selepas membenam Selangor 1-0 pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

 

Gol tunggal The Bankers menjelma pada minit ke-44 selepas Hardi Ahmad melorongkan umpanan silang di sebelah kiri untuk disudahkan dengan mudah Gustavo Andres Fuentes sekali gus membolehkan skuad kendalian E Elavarasan memimpin carta mata Kumpulan A.

 

Tetapi ukuran nilai kualiti aksi malam tadi tidak cukup bagi menggambarkan hasrat Public Bank yang mahu mengecapi tiket final Piala Malaysia 2004. Begitu jugalah tanggapan boleh dirumuskan buat Selangor yang impikan kebangkitan semula selepas gagal ke Liga Super Malaysia 2005 (MSL 2005)

 

Dan tanpa Ivan Ziga – penjana tengah terbaik dari Slovakia untuk melorong umpanan berkualiti kepada Milan Strelec dan Gustavo Andres Fuentes, aksi awal Public Bank yang dilabel pasukan pilihan bagi meraih tiga mata penuh tampak dangkal serta kurang bertenaga.

 

Jelas sekali status naib juara MSL 2004 tidak banyak menyerlahkan rasa gentar di hati benteng Merah Kuning. Semuanya kerana acahan kurang memikat diserlahkan jentera serangan The Bankers yang mengidam laluan terus ke perlawanan akhir piala berprestij musim ini.

 

Bagi The Red Giant, pemburuan mencuci aib rentetan gagal kembali ke kancah MSL 2005 tampak umpama satu perjalanan nan panjang angkara aksi serba kurang menjadi sepanjang babak pertama. Kecuali acahan Darko Novacic pada minit ke-22, kepincangan benteng Selangor jelas terpapar pada 45 minit pertama.

 

Umpanan kurang tepat dan penjiwaan aksi cukup longgar adalah elemen utama yang boleh dikupas mengenai perjuangan babak pertama skuad kendalian Ismail Ibrahim tetapi anak buah E Elavarasan pun tidak banyak membedil kubu Selangor biarpun ada kalanya tampak agak dominan.

 

Tetapi hentakan kurang mantap tidak cukup meletakkan Public Bank di depan namun segala-galanya berubah seminit sebelum pemain melangkah kaki ke bilik persalinan apabila Fuentes tenang menolak masuk umpanan jauh Hardi.

 

Kalau Selangor mahu mencari siapa yang salah, mungkin jari boleh dituding ke bahu Mohd Fadhil Hashim rentetan gagal menerkam ke arah Hardi lantas membenarkan pemain berjersi nombor 29 itu tenang melambung umpanan untuk disudahkan Fuentes.

 

Ismail – kapten Merah Kuning pada era awal tahun 1990-an segera menghumban tiga pemain muda secara berperingkat demi mengimbangi perlawanan dan untuk seketika, variasi serangan yang berpunca daripada Amri Yahyah tampak menggusarkan benteng Public Bank.

 

Penampilan Fairuz Montana Zainal Abidin sekadar melengkap kebangkitan semula Selangor pada babak kedua tetapi percubaan Fuentes – pemenang Kasut Emas Liga Perdana Malaysia 2004 (LPM 2004) kurang bermaya dan mudah diteka penjaga gawang veteran, V Murugan.

 

PUBLIC BANK: V Murugan, A Ganeson, Marko Ante Rudan, A Muralitharan, Wan Rohaimi Ismail, Nor Nazri Mohd Nor, Milan Strelec (Sutesh Sankaran Nair), Mohd Aiman Wong, Mohd Fareed Shah Hassan, Hardi Ahmad, Gustavo Andres Fuentes (Fatrurozi Razi)

 

SELANGOR: Azlisham Ibrahim, S Jaya Prakash, Mohd Saifu Nizam Husin, Leong Hong Seng (Ismail Suboh), Mohd Fadhil Hashim, D Surendran, Shukor Adan, P Gunalan (Amri Yahyah), Darko Novacic, Brian Fuentes, Mohd Irme Mat (Fairuz Montana Zainal Abidin)