30.08.04
Selangor 1 Sarawak 0 (Piala Malaysia)
Oleh: Berita Harian
Selangor menghidupkan peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia 2004 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Shah Alam malam tadi.
Gol tunggal Mohd Razman Roslan pada minit ke-64 permainan memastikan Merah Kuning yang kecundang 0-1 kepada Public Bank Selangor pada perlawanan pembuka tirai kempen musim ini Rabu lalu meraih tiga mata berharga untuk menduduki tangga kedua kumpulan.
Saingan Kumpulan C membabitkan empat pasukan itu terus diungguli oleh Public Bank yang mengekalkan rekod bersih dengan kemenangan kedua selepas selepas menundukkan Kuala Lumpur 4-1 malam tadi.
Sarawak yang berkunjung ke Shah Alam turut berazam mencatat kemenangan sesudah tewas 3-5 kepada Kuala Lumpur pada perlawanan pertama tampil memberi saingan sengit apabila babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol.
Babak kedua, aksi berbalas serangan terus berlangsung antara kedua-dua pasukan namun tindakan penyudah yang lemah masih menjadi halangan buat tuan rumah dan pelawat mencipta jaringan.
Begitupun, Merah Kuning akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila Mohd Razman Roslan berjaya menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat ke dalam gawang Sarawak.