Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.09.04

Kuala Lumpur 1 Selangor 2 (Piala Malaysia)

Oleh: Berita Harian

Selangor mengorak langkah untuk mengikis status `harimau kertas' sesudah bergelar pendahulu carta mata buat kali pertama sesudah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

 

Gol kemenangan Merah Kuning dihadiahkan Fairuz Montana Zainal Abidin pada minit ke-58 dan Ante Kovacevic ke-75 tetapi Kuala Lumpur berjaya merapatkan kedudukan sesudah Marchelo Padilha Da Rocha menyempurna penalti pada minit terakhir permainan.

 

The Red Giant kini saling berkongsi enam mata dengan Public Bank Selangor tetapi memimpin carta Kumpulan C kerana perbezaan jaringan sambil Kuala Lumpur dan Sarawak mengutip tiga mata.

 

Apapun pertembungan setempat yang pernah mencetus nostalgia indah pada era 1980-an dan 90-an diiringi hujan sejak awal petang tetapi kehadiran peminat fanatik Merah Kuning dan Pasukan Warga Kota tetap mengintai peluang menyaksikan kehebatan terkini.

 

Untuk seketika pasti ada menyangka padang basah bakal merencatkan irama permainan tetapi aksi saling menyerang jadi paparan dengan anak buah Mohd Zan Mat Aris banyak menyerbu dan mengacah kubu The Red Giant yang dipimpin sementara Ken Worden.

 

Serangan kilat Kuala Lumpur sering memerangkap Selangor yang sering dibuai lagu kemenangan 29 kali. Dan jalan mudah cuba beraksi `cantik' untuk mendodoi peminat diambil penjana Merah Kuning jelas menambah kekalutan kerana bola meliar tanpa hala tuju.

 

Gawang pelawat hampir terburai pada minit ketujuh apabila sepakan percuma Luis Rodrigo Lima Vieira menerjah laju ke penjuru kiri tetapi Shahrizan Ismail - penjaga gol yang dipinjam daripada TNB Kelantan tepat menduga arah bola dan segera menepis keluar.

 

Kejutan awal cepat menyedarkan Worden betapa anak buah Mohd Zan boleh `bikin gila' dan pantas mengerah kapten, Shukor Adan merapatkan barisan di tengah sambil Fairuz Montana Zainal Abidin dipaksa banyak berlari ke kiri dan kanan bagi melorong umpanan buat Darko Novacic serta Brian Fuentes.

 

Perubahan taktik memberi sedikit kelegaan buat Selangor tetapi Kuala Lumpur masih mampu memeningkan kepala benteng Merah Kuning dengan Rocha hampir memecah kebuntuan jaringan namun Shahrizan sekali lagi memegang watak penyelamat.

 

Di penghujung babak pertama, kombinasi Novacic-Fuentes hampir membuatkan Worden tersenyum. Malangnya tatkala Fuentes sepatutnya meledak rembatan, watak itu dirampas Novacic menyebabkan bola berpusar tinggi lantas segera diterkam Saiful Amar Sudar.

 

Pemain Selangor berarak masuk menyambung dengan perasaan geram tetapi watak mencemaskan jiwa penonton tetap dipegang barisan Kuala Lumpur sehingga aksi minit ke-57 dijelmakan Fuentes membuatkan benteng tuan rumah hampir menjeruk rasa.

 

Sesudah berdepan Saiful Amar, Fuentes sepatutnya tenang menguis masuk bola tetapi penjaga gol Kuala Lumpur masih terdaya menampan acahan penyerang Argentina yang pernah menabur bakti dalam kancah Serie B Itali. Tetapi seminit kemudian, hak Selangor untuk merayakan gol pembukaan tidak mampu dinafikan.

 

Bermula rembatan awal Novacic yang tampak seperti tidak berbahaya tetapi acahan itu terbias ke kaki Fairuz Montana lantas bola bergolek masuk ke dalam gawang Kuala Lumpur. Penangan itu segera membuatkan Selangor segera menyerbu ke kubu Kuala Lumpur untuk merampas dominasi wilayah.

 

Akibatnya gawang tuan rumah bocor lagi pada minit ke-75 sesudah Kovacevic menanduk tajam sepakan penjuru P Gunalan untuk membolehkan Selangor menang biarpun Rocha menyempurnakan penalti pada minit ke-90.