23.09.04
Sarawak 2 Selangor 1 (Piala Malaysia)
Oleh: Berita Harian
Sarawak melonjak ke tangga teratas Kumpulan C sambil mencerahkan peluang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengatasi Selangor 2-1 di Stadium Sarawak malam tadi.
Bujang Senang yang sebelum ini sekadar di tangga ketiga mengambil alih teraju kumpulan hasil kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas lawannya itu yang mengungguli carta sebelum ini dan Public Bank yang di tangga kedua kecundang kepada Kuala Lumpur.
Semua gol dihasilkan dalam babak kedua dan Bujang Senang nyata memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menggembirakan kira-kira 3,500 peminat mereka yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.
Gol pertama Bujang Senang dihasilkan oleh Abg Mohd Za’fari Abg Othman pada minit ke-53 hasil serangan balas pantas selepas pelawat lebih dulu menjaringkan gol pembukaan seminit sebelum itu.
Jaringan kemenangan Sarawak dihasilkan oleh Mohd Noor Md Deris pada minit ke-76 yang dibawa masuk oleh Jalil Rambli menggantikan untuk menggantikan Kamaluddin Tahar pada babak kedua.
Gol pembukaan Selangor pada minit ke-52 ialah hasil jaringan penyerang import mereka dari Argentina, Brian Fuentes yang berjaya memanfaatkan peluang hasil kelekaan benteng Sarawak.
Tuan rumah berpeluang menambah jaringan pada minit ke-64, namun Fernendo Manuel Co gagal memanfaatkan peluang walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Merah Kuning, Shahrizan Ismail.
Minit-minit akhir perlawanan, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan terutama Selangor yang berusaha keras untuk mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan tetapi Sarawak berjaya mengawal baik kubu mereka untuk mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat.