19.09.04
Selangor 1 Public Bank 1 (Piala Malaysia)
Oleh: Berita Harian
Pertembungan pasukan setempat Lembah Klang berlainan darjat sekadar menghadiahkan perkongsian satu mata apabila Selangor dan Public Bank seri 1-1 pada perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.
Penyerang cilik, Mohd Irme Mat menyelamatkan maruah Merah Kuning apabila ledakannya pada minit ke-89 menerjah masuk ke dalam gawang The Bankers sekali gus memadam gol kontroversi Marko Ante Rudan lima minit sebelum tamat babak pertama.
The Red Giant masih memimpin carta mata Kumpulan C apabila meraih tujuh mata daripada empat perlawanan sambil Public Bank kekal tujuh mata dan kini dua pasukan Lembah Klang itu hampir pasti meneruskan laluan ke suku akhir Piala Malaysia.
Kesungguhan untuk meraih mata maksimum jelas terpapar di wajah Selangor yang memberi ruang waktu buat Darko Novacic supaya mencari ‘kekuatan dalaman’ selepas memperaga prestasi hambar tatkala bertemu Kuala Lumpur dan sebagai galang ganti, Amri Yahyah diperkenalkan dalam sangkar aksi.
Selepas saling beradu kekuatan dalam tempoh 10 minit pertama, penguasaan wilayah di tengah jadi milik Merah Kuning biarpun E Elavarasan menyandarkan harapan di bahu Ivan Ziga untuk mengkucar-kacirkan benteng tuan rumah yang ketika ini memimpin carta mata.
Dan tatkala naib juara Liga Super Malaysia 2004 (MSL 2004) itu asyik mencongak langkah kanan, gegaran pertama dirasai Public Bank selepas kuisan mudah Brian Fuentes berpunca daripada lorongan Amri, bergolek masuk ke dalam gawang pelawat pada minit ke-13.
Tetapi pengadil, Shokri Nor membatalkan jaringan penyerang Argentina itu yang didakwa menggunakan tangan untuk menolak masuk bola tatkala peminat The Red Giant girang merayakan gol pembukaan. Di luar padang pengendali sementara, Ken Worden pula dilihat menjerit marah tanda protes.
Acahan awal meyakinkan juara Piala Malaysia 29 kali itu ‘aksi malam ini’ bakal jadi milik mereka dan serangan bertali arus mula dilancar ke kubu The Bankers dengan kombinasi Fairuz Montana Zainal Abidin-Shukor Adan jadi penjana kreativiti.
Petaka buat Selangor menjelma pada minit ke-40 apabila Rudan menanduk masuk sepakan percuma Ziga dan tatkala pengadil menuding jari ke tengah tanda jaringan disahkan, barisan tuan rumah menyerbu tanda marah kerana mendakwa Shahrizan Ismail terlebih dulu dikasari.
Selangor menyambung aksi dengan nada garang tetapi Public Bank membeli cabaran itu dengan mengerah Fatruzi Rozi-Fuentes lebih banyak ke atas untuk mengertak benteng Merah Kuning dan perubahan taktikal menyebabkan Ante Kovacevic serta rakan di bawah agak tertekan.
Bagi tuan rumah, secara tiba-tiba mereka umpama kereta api wap kehilangan tenaga. Impak segera ditanggung benteng dikerah bekerja keras mengekang lambungan jauh Public Bank yang cuma banyak berakhir dengan ancaman meliar.
Seminit sebelum tamat perlawanan, Mohd Irme menyelamatkan maruah Merah Kuning selepas menguis masuk bola muntah berpunca daripada rembatan Amri.