06.10.04
Ken Worden mahu buktikan
Oleh: Berita Harian
Tiada apa lagi faktor pemangkin bergema dalam kem Selangor ketika ini kerana mereka bukan lagi memburu kemasyhuran tetapi mencari cebisan maruah yang tampak seperti dipersendakan ramai pasukan.
Dan faktor itulah yang cuba ditegaskan tiga insan penting dalam kem Merah Kuning - Datuk Satim Diman (pengurus pasukan), Ken Worden dan Ismail Ibrahim (jurulatih bersama) menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia 2004 di Stadium Shah Alam malam ini.
Worden paling sinis dalam membicarakan peluang The Red Giants untuk ke separuh akhir. “Saya agak hairan kerana ada orang nampak seakan tak percaya kebolehan Selangor. Saya tahu kebolehan pemain saya.
“Kerana itu saya jangkakan Selangor boleh pergi jauh...mungkin final. Siapa tahu nasib Selangor,” katanya di Shah Alam semalam sambil menuntut komitmen jitu pemain muda seperti Amri Yahyah, Rudie Ramli dan P Gunalan.
Amri yang mengakui masih terkilan sesudah tidak dikurniakan penalti selepas dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-44 tatkala melawan Pahang pada suku akhir pertama di Kuantan Sabtu lalu berjanji akan sekali menjadi `hantu’ kepada skuad Tok Gajah.
Kesungguhan Amri - peledak gol emas perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi pemisah penjana tengah malam dan ketiadaan Simon Colosimo pasti memberikan bebanan berat kepada Pahang.
Rentetan itu, Ismail menjangka kedudukan Juzaili Samion pasti berubah untuk menampung kehilangan Colosimo dan bakal bergandingan bersama Fadzli Shaari, Hairuddin Omar serta Irwan Fadly Idrus di tengah sambil Jalaluddin Jaafar kembali mengisi posisi bek kanan.
Tetapi berita terbaru membayangkan betapa Juzaili mungkin kempunan memerah keringat kerana masih cedera dan Selangor jelas ceria dengan perkembangan terbaru itu.
Selangor dan Pahang yang sering terbabit dalam banyak pertembungan klasik Piala Malaysia terikat 1-1 dan pertemuan malam ini dilihat terus getir.