02.10.04
MB cabar pemain Merah Kuning
Suntikan semangat terbaik untuk Merah Kuning dijelmakan sendiri oleh presiden baru Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mencabar anak buahnya supaya mengulangi sejarah silam tatkala bergelar kuasa mutlak di negara ini.
Dan biarpun rentak tari bagaikan baru hendak bermula, Menteri Besar Selangor itu yang kini berada di London kepingin melihat skuad kendalian bersama Ismail Ibrahim dan Ken Worden pergi jauh sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2004.
Hakikat itu didedahkan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin yang menegaskan betapa presiden baru badan induk berkenaan menghantar mesej mahukan barisan Merah Kuning kembali mengharumkan nama Selangor sebagaimana era 50-an, 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.
“Menteri Besar Selangor hubungi FAS dari London dan sampaikan mesej ucapkan selamat berjuang (kepada barisan pemain). Beliau gembira kerana Selangor masuk ke suku akhir (Piala Malaysia). Beliau juga tahu Selangor akan jumpa Pahang.
“Dalam mesej itu, beliau cabar pemain berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Kata beliau, Selangor pernah jadi kuasa bola sepak nombor satu di Malaysia. Kenapa sekarang tak boleh? Jadi beliau mahu kita main sampai menang.
“Saya harap pemain akan dapat semangat baru dengan cabaran yang datangnya dari presiden baru FAS. Saya harap akan dapat kalahkan Pahang walaupun main di kandang lawan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan semalam.
Dalam pada itu, Ismail - kapten Merah Kuning yang seangkatan dengan pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan mendakwa cabaran Dr Mohd Khir tidak menyebabkan pemainnya tertekan sebaliknya percaya ia boleh menaikkan semangat juang barisan Selangor.
“Pemain Selangor dah banyak lalui detik mencemaskan musim ini. Pada satu ketika, kami macam dah dapat masuk Liga Super (Malaysia 2005 - MSL 2005). Tapi sayangnya kami gagal. Lepas tu, kami hilang jurulatih dan beberapa pemain import.
“Pendek kata pemain dah lalui bermacam azab musim ini. Saya percaya mereka dah tahu apa nak buat bila lawan Pahang nanti. Saya dapat rasakan pertemuan malam esok (ini) adalah 50-50. Siapa yang buat salah akan kalah,” katanya.
Ismail percaya kejayaan menjuarai Kumpulan C yang turut menampilkan Public Bank Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur meyakinkan pemain betapa Merah Kuning ada kekuatan dalaman untuk lebarkan rekod kejayaan muncul juara.
“Ramai tak sangka yang kami akan jadi juara kumpulan. Tapi akhirnya kita berjaya. Inilah satu detik yang baik untuk kami. Saya harap semangat pemain masih tinggi,” katanya.