Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.10.04

Pahang 1 Selangor 1 (Suku Akhir 1 Piala Malaysia)

Oleh: Berita Harian

Imej Pahang hampir dipalit aib tetapi Indra Putra Mahayuddin menyelamatkan maruah tuan rumah untuk sekadar seri 1-1 dengan Selangor yang terpaksa beraksi 10 pemain pada pertemuan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia 2004 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

 

Jaringan minit ke-87 itu memadam kelebihan awal Merah Kuning yang dicipta penyerang import dari Croatia, Darko Novacic namun skuad Tok Gajah bakal mengharung suku akhir kedua penuh keperitan andai prestasi malam tadi jadi perkiraan.

 

Gegak gempita lebih 18,000 peminat fanatik tuan rumah sepi seketika apabila terjahan Brian Fuentes yang berpunca daripada lorongan cantik Amri Yahyah ditepis Mohd Iqbal Suhaimi tetapi bola melantun terkena palang bawah sebelah kanan lalu bergolek keluar.

 

Acahan awal menerbitkan rasa berani di hati pasukan pelawat tetapi secara perlahan wilayah dominasi mula dikongsi bersama namun apabila usia pertemuan melewati minit ke-25, impak aksi seakan cenderung kepada penguasaan lebih berpihak kepada jagoan Pantai Timur.

 

Pergerakan 10 minit kemudian masih banyak berkisar di tengah tanpa ada acahan berkualiti dijelmakan barisan tuan rumah yang menyandarkan harapan di bahu Simon Colosimo dan Hairuddin Omar untuk mencanai kreativiti seterusnya dimanipulasi Indra Putra Mahayuddin atau Anthony Josip Milicic.

 

Sekalipun tertekan, sesekali The Red Giant tetap garang dan Amri penjaring gol emas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 dijatuhkan dalam kotak penalti dan pemain Merah Kuning merayu dikurniakan penalti tetapi pengadil, Ahmad Khalidi Supian bersahaja menolak rayuan pelawat.

 

Namun dalam insiden serupa pada minit ke-44, Ahmad Khalidi cukup kontras apabila menghadiahkan kad merah buat Mohd Saifu Nizam kerana membentes Milicic di luar garisan separa bulat lantas membuatkan hampir semua pemain Merah Kuning menyerbu ke arah pengadil dari Kedah itu.

 

Pemain Merah Kuning diketuai Shukor dan beberapa tonggak senior yang lain dilihat masih memprotes keputusan Ahmad Khalidi tatkala permainan babak pertama selesai kerana Merah Kuning sedar betapa dengan 10 orang, jentera serangan Pahang akan membedil kubu mereka apabila permainan bersambung.

 

Anehnya Fuentes - penjaring terbanyak Liga Perdana Malaysia 2004 (LPM 2004) sesudah meledak 25 gol hampir menggegar gawang tuan rumah dua minit selepas babak kedua bermula tetapi rembatan penyerang Argentina itu tersasar beberapa inci.

 

Selepas itu, babak dramatik semuanya milik Pahang. Acahan pada minit ke-59, ke-61 dan ke-67 sepatutnya sudah boleh meletakkan skuad bernilai jutaan ringgit mencetak gol demi gol tetapi penjaga gawang Merah Kuning, Mohd Shahrizan Ismail jelas terlalu kebal.

 

Petaka buat calon juara Piala Malaysia 2004 menjelma pada minit ke-75 sesudah Novacic meledak rembatan bak peluru di luar kotak penalti terus menerjah ke dalam gawang Pahang tatkala Mohd Iqbal terpinga-pinga memerhati rakan sepasukan.

 

Tatkala pelawat menyangka merah bakal pulang bergaya, Indra Putra meledak rembatan sejauh 35 meter untuk menewaskan Mohd Shahrizan bagi membolehkan keputusan tertera 1-1.