Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.10.04

Selangor 0 Pahang 2 (Suku Akhir 2 Piala Malaysia)

Oleh: Berita Harian

Bagaikan pertemuan klasik yang sudah dijanjikan cuma kali ini Pahang tampak lebih bernasib baik berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia 23 November ini sesudah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

 

Biarpun dibedil beberapa percubaan berkualiti pada penghujung 15 minit terakhir, namun akhirnya skuad pimpinan Zainal Abidin Hassan melangkah hasil ledakan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-26 dan Hairuddin Omar ke-59.

 

Pahang melangkah ke separuh akhir dengan kelebihan agregat 3-1 untuk bertemu Perlis yang mengatasi Negeri Sembilan 5-4 melalui sepakan penalti penentuan selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 1-1.

 

Skuad Tok Gajah yang mensasarkan kejuaraan berganda kali terakhir dijelmakan pada 1992 tatkala Pahang melakar formula serupa dengan menampilkan barisan bintang tersohor termasuk Zainal Abidin, Dollah Salleh, Ahmad Yusuf dan Fandi Ahmad.

 

Dan bagaikan satu kenangan silam, pertemuan malam semalam jelas mengimbaukan kenangan apabila Stadium Shah Alam kembali dibanjiri lebih 25,000 peminat yang sebahagian besar berjersi merah-kuning – lambang peminat sejati The Red Giant.

 

Tetapi sokongan jitu tidak mampu membakar semangat juang tuan rumah kerana acahan awal banyak didominasi anak buah Zainal Abidin yang kempunan dua tonggak berkarisma dari Australia – Anthony Josip Milicic dan Simon Colosimo.

 

Asakan awal berorientasi serangan pantas memaksa benteng pertahanan pimpinan Ken Worden bertindak garang menjinakkan acahan juara Liga Super Malaysia 2004 (MSL 2004) tetapi masih ada penyerang Pahang yang mampu menyelinap memberi amaran awal kepada Mohd Shahrizan Ismail.

 

Peluang paling terbaik untuk pasukan pelawat menjelma pada minit ke-19 apabila Indra Putra cuba menyambung umpanan Fadzli Shaari biarpun cuba dicabar Ante Kovacevic.

 

Tujuh minit kemudian Indra Putra tidak tersilap apabila melonjak menanduk masuk lambungan Irwan Fadly Idrus bagi menceriakan lebih 3,000 peminat skuad Tok Gajah yang mengharapkan pasukan Pantai Timur berarak terus sehingga ke final musim ini.

 

Anehnya ledakan awal seakan menjana rasa puas di hati barisan pelawat sebaliknya pemain juara Piala Malaysia 29 kali bagaikan diamuk perangkap amarah untuk segera mengimbangi pertemuan dua musuh tradisi.

 

Minit ke-33 hampir menyaksikan ledakan bek kiri D Surendran yang banyak melakukan overlapping melepasi jangkauan Mohd Iqbal Suhaimi tetapi imbasan terbabit hanya isyarat awal kerana selepas itu barisan Merah Kuning ligat menguji penjaga gawang Pahang.

 

Tiga minit selepas permainan bersambung Darko Novacic berjaya mengimbangi kedudukan 1-1 tetapi tandukannya berpunca daripada lambungan Surendran dibatalkan pengadil, Rosdi Shaharul kerana penyerang Croatia itu terlebih dahulu ofsaid.

 

Entah mengapa secara tiba-tiba gertakan Selangor jadi lembik dengan penjana tengah termasuk Shukor Adan banyak saling bertukar umpanan sehingga membuatkan Novacic dan Brian Fuentes hilang selera untuk memburu gol penyamaan.

 

Petaka buat Merah Kuning terus berganda pada minit ke-59 apabila Hairuddin meledak separa voli untuk menjadikan kedudukan 2-0 dan semuanya berpunca daripada Surendran yang membenar Azizul Kamaluddin mencuri bola daripada kakinya.