Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.12.04

Bekas bintang import Selangor latih Bujang Senang

Oleh: Berita Harian

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) melantik bekas penyerang import Selangor, David Mitchell sebagai jurulatih barunya bagi Liga Perdana, musim depan.

 

Presiden FAS, Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata keputusan exco persatuan itu mengambil kira kemahiran dan pengalaman luas pemain itu dalam bidang kejurulatihan.

 

"Di zaman kemuncaknya sebagai pemain profesional, Mitchell pernah beraksi untuk beberapa pasukan terkenal, termasuk Arsenal dan Chelsea, manakala di Malaysia, beliau lebih terkenal ketika beraksi di Selangor.

 

"Kemudiannya, beliau menceburi bidang kejurulatihan untuk beberapa kelab ternama di negara asalnya, Australia. Kami yakin beliau boleh membimbing Sarawak dengan baik," katanya pada sidang media, di Kuching, semalam.

 

Dr Rahman berkata, Mitchell ditawarkan kontrak setahun dan tugas utamanya ketika ini adalah mengenalpasti pemain yang berpotensi diserapkan ke pasukan Sarawak.

 

"Mitchel bertanggungjawab sepenuhnya dalam mempersiapkan pasukan kami untuk menghadapi saingan dalam Liga Perdana tahun depan.

 

"Kami yakin, pengalaman dan kemahiran yang padanya (Mitchell) dapat membantu kami mengenalpasti pemain terbaik untuk diserapkan dalam pasukan Sarawak, seterusnya mengharungi cabaran musim depan," katanya.

 

Mitchell juga tidak perlu melalui tempoh percubaan seperti dilalui Trevor James Morgan ketika memimpin skuad Sarawak.

 

"Bagaimanapun, kami akan mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa, terutama dari segi pencapaian pasukan bagi memastikan masalah itu tidak berulang,” katanya.