Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.12.04

FAS susun struktur pengurusan

Oleh: Berita Harian

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu melakukan penstrukturan semula sistem pengurusan pentadbiran dengan memperkenalkan konsep tangga gaji sebagaimana kakitangan kerajaan.

 

Ia bertujuan supaya sumber kewangan FAS lebih menjurus kepada latihan pembentukan dan kebajikan pemain atau mendidik pemain muda, berbanding ‘berbelanja’ atas nama kos pengurusan.

 

Pengumuman yang dibuat Presiden FAS, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo itu bermakna kakitangan FAS berdepan pemotongan gaji bagi menyelaraskan gaji mereka dengan tangga gaji kakitangan kerajaan.

 

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Besar Selangor itu berkata, sistem bonus diperkenalkan kepada pegawai dan kakitangan pengurusan FAS apabila memperoleh kejayaan tertentu.

 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kadar peratusan potongan itu, sebaliknya memaklumkan semua pihak berkaitan sudah menerima keputusan berkenaan demi memulihkan kredibiliti skuad Merah Kuning itu.

 

"Semua pihak sudah setuju demi kebaikan bersama pasukan dan kita tidak menghadapi masalah berhubung masalah itu. Jika kita berjaya menempa kejayaan, mereka tentu menerima habuan menarik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam, semalam.

 

Dr Mohamad Khir berkata, pemotongan itu bagaimanapun tidak membabitkan barisan pemain yang bakal mewakili Selangor musim ini kerana mereka tertakluk kepada kontrak masing-masing.

 

Katanya, Selangor juga mahu menubuhkan akademi bola sepaknya sendiri di satu kawasan yang sudah dikenal pasti di sekitar Kota Damansara membabitkan kawasan seluas lapan hektar.

 

"Kali ini, kita akan kurangkan `pelaburan' dalam pembinaan infrastuktur, sebaliknya menabur duit terhadap pembinaan pemain kerana infrastuktur sedia ada sudah mencukupi.

 

"Di negara lain, kemudahan yang mereka ada untuk sukan bola sepak ini tidaklah begitu sempurna tetapi mereka mampu melahirkan pemain handalan.

 

"Inilah yang akan kita buat di Selangor. Kita mahu memperuntukkan lebih banyak wang dengan melatih remaja supaya menjadi pemain ternama sekali gus menjadi pelapis skuad sedia ada," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohamad Khir berkata, FAS juga melakukan pengubahsuaian pada pakaian serta kelengkapan aksesori penyokong bagi menarik minat mereka menyokong skuad Merah Kuning.

 

Selangor diperkuatkan dengan kehadiran pemain dari Indonesia, Bambang Pamungkas diharap merampas semula Piala Malaysia yang kini menjadi milik Singa Utara berdasarkan senarai pemain yang dimiliki mereka.

 

Barisan pemain yang sudah mengesahkan penyertaan mereka bersama Merah Kuning itu ialah Khalid Jamlus, Jamsari Sabian, Shahrizan Ismail, Aiman Firdaus, Saifulnizam Hussin, Nazrul Ezwan Makmur, K Sanbagamaran, Razman Roslan, Mohd Fadhil Hashim, Ahmad Tarmini Saiban, D Surendran, S Sivaram, Nazzab Hidzan, Amri Yahyah, Fairuz Montana, Shukor Adan, Haris Safwan, Erme Mat, Azlisham Ibrahim, P Gunalan dan Brian Fuentes.