Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.12.04

Selangor sedia rampas piala

Oleh: Berita Harian

Selangor melaungkan amaran keras kepada semua pesaing lain dalam kancah bola sepak di negara ini termasuk juara Piala Malaysia, Perlis betapa Merah Kuning sudah bersedia untuk merampas semua piala yang dipertandingkan musim depan.

 

Ketika mengumumkan sasaran besar itu semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Moha

 

mad Khir Toyo menegaskan sudah tiba masanya untuk Red Giant kembali menjadi pasukan nombor satu dalam kancah bola sepak tempatan.

 

"Dulu pada era 1950-an, 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an, Selangor adalah pasukan nombor satu dan sangat digeruni oleh negeri lain. Nak datang ke Selangor pun mereka takut. Sekarang, Selangor sudah ada barisan pemain yang hebat untuk musim depan termasuk Bambang Pamungkas dan Khalid Jamlus. Jadi Selangor kena bercita-cita besar.

 

"Apatah lagi tahun depan Selangor akan mencapai status Selangor Maju. Maju ini bermakna Selangor mesti maju dalam bidang sukan. Oleh itu, saya letakkan sasaran tinggi kepada pengurusan yang diketuai oleh Datuk Satim Diman. Saya mahu Selangor menang semua piala termasuk Piala Malaysia.

 

"Saya juga ingin beri amaran kepada Perlis. Tengoklah piala itu hari-hari kerana tahun depan Selangor akan rampas semula dan bawa pulang ke Shah Alam. Saya bukan berniat untuk memperkecil-kecilkan Perlis. Saya cuma memberi sasaran besar kepada pasukan Selangor. Saya tahu pasukan ini akan jadi skuad nombor satu di Malaysia tahun depan.

 

“Apabila sudah ada pasukan yang kuat, Selangor kena bercita-cita besar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani kontrak bersama pemain untuk musim 2005, sambutan Aidilfitri dan majlis perkahwinan tiga mempelai anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puchong di Serdang, semalam.

 

Bambang - penyerang nombor satu Indonesia yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Seluruh Indonesia untuk musim 2003 mendahului majlis menandatangani kontrak semusim bersama Selangor sambil disaksikan Dr Mohamad Khir.

 

Turut menandatangani kontrak ialah jurulatih, Dollah Salleh dan 22 pemain termasuk semua pemain yang baru menabur bakti untuk Merah Kuning - Khalid, K Sanbagamaran, Nazrul Erwan Makmur, Jamsari Sabian, Haris Safwan Kamal, Mohd Aiman Firdaus Tan Abdullah, Muhd Saifu Nizam Hussein dan Mohd Shahrizan Ismail.

 

Pemain Selangor yang dikekalkan untuk musim depan yang menandatangani kontrak ialah Shukor Adan, D Surendran, Amri Yahyah, S Sivaram, P Gunalan, Azlisham Ebrahim dan Irme Mat.

 

Dr Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan betapa pengurusan FAS tidak teragak-agak untuk menyingkirkan Satim dan barisan kepemimpinannya andai Merah Kuning gagal menggapai sasaran menang tiga piala termasuk Piala Malaysia musim depan.

 

"Sasaran ini memang tinggi. Tetapi kami membayarnya dengan harga yang besar. Kami sudah berbelanja besar untuk sediakan semua kemudahan dan kerana itu, saya mahu beri peringatan kepada Datuk Satim dan rakan-rakan. Saya akan pastikan beliau dan rakan-rakan disingkirkan jika gagal untuk capai sasaran yang diberi," katanya dengan nada tegas.

 

Sementara itu, Satim ketika ditemui menjelaskan betapa Selangor masih menunggu jawapan rasmi daripada seorang lagi penyerang Perak, V Saravanan yang dikatakan sedang berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

 

"Dalam hal ini, Selangor cukup gentleman. Kalau dia nak main dengan Pahang...silakanlah. Saya tak larang. Tapi setakat ini, Saravanan minta supaya dia diberikan ruang untuk berfikir. Saya bersetuju dan akan sentiasa tunggu jawapan daripada Saravanan. Harap-harap dia akan main untuk Selangor musim depan," katanya.

 

Satim turut mendedahkan betapa Selangor akan memikat seorang lagi pemain tengah skuad senior Indonesia yang memiliki nama sehebat Bambang dan benteng pertahanan Croatia bagi melengkapkan senarai pembelian musim depan.

 

"Pemain tengah ini pun sama hebat macam Bambang. Dia akan bermain di tengah sebagai libero. Perbincangan sudah dimulakan dan saya percaya semuanya akan dibereskan tidak lama lagi," katanya dengan positif.