Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
29.01.05

Badawi lulus ujian

 

PEMAIN pertahanan antarabangsa Lebanon, Badawi Farah melepasi ujian Selangor dengan keputusan memuaskan sepanjang beraksi dalam dua perlawanan ujian di Perth.

Pengurus pasukan Datuk Satim Diman berpuas hati dengan persembahan Badawi yang padanya memiliki ciri pemain bek tengah yang dicari-cari Selangor.

“Jurulatih, Dollah (Salleh) juga memberi reaksi positif akan keupayaan Badawi yang bukan sahaja bijak mengetuai benteng, malah gerakan-gerakannya pantas mematahkan serangan pasukan lawan.

“Pada saya dia lulus ujian Selangor,” kata Satim.

Badawi yang beraksi untuk Lebanon pada kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia 2004 cekap mengarahkan pemain lain mengecilkan ruang buat penyerang lawan bergerak bebas.

Keupayaannya terserlah apabila bertindak selaku sweeper ketika Selangor hanya beraksi dengan sepuluh pemain sewaktu menentang Sorrento FC, kelmarin.

Badawi, 28, bekas anggota skuad Olimpik Australia 2000, turun ketika Selangor menang 3-1 ke atas kelab kelima terbaik Australia Barat, Stirling Lions FC dan tewas tipis 1-2 kepada Sorrento.

“Namun begitu, saya masih menangguh urusan perbincangan dengan kelab Sydney United untuk mengikat Badawi.

“Ini kerana kami masih mahu melihat seorang lagi calon ujian, Aaron Cole, kapten kelab Perth Soccer Club,” katanya.

Cole yang dikatakan pemain bek berkaliber akan turun ketika kelabnya menentang Selangor pada siri perlawanan terakhir, hari ini.

“Cole akan beraksi untuk kelabnya. Kita akan menilai keupayaannya. Jika kurang menyerlah, kita akan mengikat Badawi,” tegasnya lagi.

Kepada satu soalan, Satim mengakui waktu untuk mengikat Badawi agak suntuk kerana dia juga menjadi buruan beberapa kelab utama Australia.

“Badawi berminat untuk menyarung jersi Selangor. Katanya dia mendapat layanan baik serta cepat mesra dengan kalangan pemain Selangor,” jelas Satim.

Sementara itu, Badawi berharap agar Selangor tidak melengah-lengahkan masa untuk mengikatnya.

“Saya selesa dengan pasukan ini kerana pegawai, jurulatih dan pemainnya adalah majoriti beragama Islam.

“Tambah pula saya mendapat layanan baik daripada rakan sepasukan dan cepat pula menyesuaikan diri dengan corak persembahan Selangor,” katanya yang berangkat pulang ke Sydney, semalam.

Badawi mengakui dia mendapat panggilan daripada beberapa kelab seperti Perth Glory, juara Liga Australia 2004 dan Melbourne Knights untuk menjalani ujian.

“Apapun saya berharap sangat dapat bermain untuk Selangor yang memiliki beberapa pemain berkualiti tinggi,” tegasnya.