19.01.05
Elie anggap Merah Kuning ada ramuan lengkap
Tidak sampai dua jam berlatih bersama skuad Selangor, pemain import terbaru Merah Kuning, Elie Aiboy sudah menaruh keyakinan mereka mampu memenuhi sasaran pengurusan untuk menjulang semua piala yang dipertandingkan musim ini serta layak ke Liga Super musim depan.
Tonggak tengah Indonesia itu yang menjadi antara pemusnah utama cabaran Malaysia di separuh akhir Piala Tiger, menganggap Merah Kuning mempunyai ramuan lengkap menerusi himpunan pemain berbakat untuk bergelar pasukan unggul musim ini.
Elie yang menyertai latihan itu selepas tiba dari Jakarta semalam menyifatkan kehadiran ramai pemain kebangsaan termasuk rakannya, Bambang Pamungkas dalam skuad kendalian Dollah Salleh, menjadi tarikan untuknya berhijrah.
“Keputusan ini dibuat kerana saya yakin Selangor adalah antara pasukan terkuat di Malaysia dan ingin membantu mereka kembali ke Liga Super tahun depan.
“Kehadiran rakan senegara, Bambang juga antara faktor saya memilih Selangor. Saya dan Bambang saling mengenali antara satu sama lain dan pernah bermain bersama selama lima tahun semasa di kelab Persija dan skuad kebangsaan.
“Saya rasa tiada masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan ini kerana saya juga turut mengenali beberapa pemain Malaysia seperti Khalid (Jamlus), Shukur (Adan), Amri (Yahyah) serta jurulatihnya,” kata Elie yang kali pertama beraksi dengan pasukan di luar Indonesia.
Elie, 25, percaya gandingan pemain sedia ada Merah Kuning akan mula serasi selepas dua atau tiga perlawanan.
Kehadiran Elie disambut ceria oleh Dollah yang kali pertama berjaya menghimpunkan sebahagian besar skuad idamannya untuk membuat persediaan menghadapi musim Liga Perdana.
Hanya Khalid dan seorang lagi pemain dalam skuad Piala Tiger negara, Ahmad Tarmini Saiban tidak menyertai latihan kerana pulang ke kampung halaman untuk menyelesaikan beberapa perkara, semalam.
“Kehadiran Elie akan melengkapkan barisan idaman saya dan akan mencubanya kali pertama dalam perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan di Paroi esok,” katanya sambil menjelaskan Selangor juga akan membuat penilaian terakhir terhadap dua calon pertahanan import, masing-masing dari Croatia dan Argentina.