29.01.05
Ellie selesa aksi pantas Selangor
CORAK permainan pantas dan agresif sentuhan jurulatih Dollah Salleh menepati cita rasa pemain sayap antarabangsa Indonesia, Ellie Aiboy.
Penjaring gol tunggal Selangor ketika tewas 1-2 kepada Sorrento FC, kelmarin, menyifatkan Dollah seperti Peter Withe mengutamakan kepantasan serta penggunaan bahagian tengah dan sayap dalam formasi 4-4-2.
“Saya tidak berasa kekok kerana apa yang kami lakukan dalam pasukan Indonesia sama dengan di Selangor.
“Malahan Dollah tidak membataskan pergerakan pemain asalkan mereka mengikut apa yang diarahkan iaitu kekalkan disiplin tinggi, pastikan bola sentiasa bergerak dan tidak mengabaikan posisi.
“Inilah yang menggembirakan saya dan Bambang kerana tidak perlu menukar corak asal permainan. Biasanya pemain terpaksa mengambil masa lama untuk sesuaikan dengan corak permainan pasukan baru,” katanya.
Kepada satu soalan, Ellie mengetahui Dollah adalah bekas pemain kebangsaan yang dikenali ramai termasuk di Indonesia pada penghujung 80-an dan 90-an.
“Saya juga mendapat tahu dia berjaya membawa MPPJ ke Liga Super dan kelab pertama memenangi Piala Malaysia.
“Sudah tentu saya bertuah dapat menimba pengetahuan daripada seorang bekas pemain dan jurulatih sehebat Dollah,” jelasnya lagi.
Ellie, 25, yang sedang menunggu kedatangan isterinya dari Indonesia yang diuruskan Setiausaha Agung, Hamidin Mohd Amin, juga selesa dengan gandingan rakan sepasukan lain.
“Saya tidak hadapi masalah baik di luar mahupun dalam padang. Di luar, saya diterima sebagai anggota keluarga Selangor, manakala dalam padang, saya banyak mendapat lorongan bola menarik sehingga mampu membuat silangan tepat ke dalam kotak penalti lawan.
“Apa yang saya harapkan, Selangor akan lebih berjaya musim ini. Dengan kehadiran ramai pemain dan bekas pemain kebangsaan, saya yakin pasukan ini akan mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.
“Saya juga mahu membantu dengan beraksi lebih baik serta menyumbangkan gol kelak,” katanya.