10.01.05
Merah Kuning intai Aiboy
Oleh: Berita Harian
Nama Elie Aiboy, pemain tengah Indonesia yang memainkan peranan besar menghancurkan harapan skuad negara mara ke final Piala Tiger Isnin lalu, akan terus menjadi igauan dalam kancah bola sepak tempatan.
Elie, 25, dikatakan bakal menyertai skuad juara Piala Malaysia 29 kali, Selangor untuk musim ini, sekali gus menjadikannya pemain kedua republik itu yang menyarung jersi Merah Kuning selepas penyerang, Bambang Pamungkas.
Difahamkan perbincangan sudah hampir di penghujung tetapi dihentikan seketika bagi membolehkan pemain lincah itu menumpukan perhatian membantu Indonesia dalam kempen Piala Tiger yang mana mereka akan bertemu Singapura di final pada 8 dan 16 Januari ini.
Selangor dikatakan sudah lama meneliti perkembangan pemain tengah kelab Persija Jakarta itu yang menjadi nadi penting membantu kejayaan Indonesia menewaskan Malaysia 4-1 dalam saingan separuh akhir kedua Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lalu.
Hantaran Elie yang memperdayakan tiga pemain negara pada minit ke-84, membolehkan penyerang muda, Boas Solassa menghasilkan gol keempat Indonesia, sekali gus meranapkan terus harapan skuad negara dalam perlawanan itu.
Selain Elie yang akan tamat kontraknya bersama Persija, Merah Kuning turut dikatakan menaruh minat terhadap Boas dan kapten mereka Ponaryo Astaman.
Namun rundingan kini dikatakan menjurus kepada Elie yang lebih menjadi pilihan berbanding Ponaryo, manakala khidmat Boas terpaksa dilupakan kerana keengganan keluarganya membenarkannya beraksi di luar Indonesia.
Malah, difahamkan Selangor sanggup membayar RM400,000 untuk menebus kontrak Elie bagi memastikan dia dapat bersama skuad itu musim ini bagi memantapkan barisan tengah bersama kapten Shukur Adan dan bekas tonggaknya, K Sanbagamaran yang kembali bersama Selangor musim ini selepas beberapa tahun dengan Sabah.
Pengurusan Merah Kuning ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara itu tetapi mengakui sedang di peringkat akhir rundingan untuk mendapatkan seorang daripada pemain dalam skuad Indonesia yang beraksi di Piala Tiger baru-baru ini.
“Cuma yang boleh saya katakan, Merah Kuning hampir pasti mendapatkan seorang lagi pemain handalan Indonesia yang kini beraksi bersama skuad kebangsaan,” kata seorang pegawai Merah Kuning yang enggan namanya disiarkan.