27.01.05
Merah Kuning uji seorang lagi di Perth
Oleh: Berita Harian
BIARPUN sudah terpikat dengan aksi yang dipersembahkan pemain pertahanan tengah Sydney United yang pernah mewakili skuad Piala Dunia Remaja Australia, Buddy Farah, namun Selangor terus mengamalkan sikap berwaspada dengan menguji seorang lagi pemain handalan dalam siri kunjungan latihan di Perth, Australia.
Pengurus Merah Kuning, Datuk Satim Diman berkata pihaknya mahu menguji kewibawaan kapten Perth Italia, Aaron Cole yang dianggap kental dan memainkan peranan besar ketika membantu kelab itu menduduki tempat ketujuh dalam Liga Bola Sepak Negeri (NSL) musim lalu.
“Buddy sekarang mengalami masalah peribadi dan mahu pulang segera ke Sydney. Kami mahu mengujinya lebih lanjut dalam sesi perlawanan persahabatan ketiga menentang Perth Italia Soccer Club tetapi dia ada masalah keluarga dan mahu pulang selepas perlawanan persahabatan kedua menentang Sorrento FC hari ini (semalam).
“Saya tidak dapat menghalang keinginannya itu tetapi ejen kami di Australia sudah mencadangkan nama kapten Perth Italia yang bermain di posisi pemain tengah,” katanya ketika dihubungi di Perth, semalam.
Satim berkata, Selain masalah keluarga, Selangor juga mungkin berdepan masalah yuran perpindahan andainya mahu membeli Farah kerana pemain pertahanan tengah itu dikatakan antara yang terbaik di Australia ketika ini dan turut mendapat perhatian sebuah lagi kelab di Malaysia, Pahang.
“Saya akan berbincang dengan jurulatih, Dollah Salleh. Kalau Dollah mengesyorkan kami mengambil pemain itu, saya akan mengemukakan cadangan kepada presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sekembalinya dari Makkah nanti,” katanya.
Sementara itu, Dollah yang pernah menjadi bekas jurulatih MPPJ Selangor berkata dia akan terus memantau pergerakan Farah pada perlawanan persahabatan kedua itu dan setakat ini pemain senior skuad kebangsaan Lebanon itu menunjukkan corak permainan yang agak memberangsangkan.
Menurutnya, dia akan membuat perbandingan di antara Farah dan Cole berdasarkan aksi dalam dua perlawanan persahabatan itu sebelum membuat cadangan lanjut kepada pengurusan FAS.
“Buat masa ini, saya tidak berani untuk membuat apa-apa ulasan. Saya belum dapat menyaksikan aksi sebenar Buddy kerana dia belum cukup diuji ketika persahabatan pertama menentang Stirling Lions Club. Oleh kerana itu, agak sukar untuk saya hendak memberi apa-apa kenyataan,” katanya.
Menurut Satim, Selangor juga sedang menanti berita lanjut mengenai seorang lagi pertahanan tengah dari Croatia yang dicadangkan oleh bekas penyerang Merah Kuning, Darko Novacic untuk menguji nasib dengan Merah Kuning musim ini.
“Darko menghantar faks ke pejabat FAS di Kelana Jaya dan menyatakan bahawa seorang pemain pertahanan tengah yang sangat berkaliber mahu menguji nasibnya di Selangor. Pemain itu akan diuji sekembalinya kami dari Perth nanti biarpun masa sudah agak suntuk,” katanya.
Selangor akan menentang Perth Italia Soccer Club pada perlawanan persahabatan terakhir hari ini dan mereka meraih kemenangan pertama dalam tempoh sebulan apabila menewaskan kelab Stirling Lions FC 2-1 Selasa lalu.