28.01.05
Pengadil berat sebelah
SELANGOR mendapat ujian yang dikehendakinya berdepan kelab Sorrento FC pada siri perlawanan kedua dalam sesi latihan di Perth, Australia, semalam.
Dengan cara pengadilan diragui, Gergasi Merah yang kehilangan Nazrulerwan Makmor selepas diarahkan keluar padang, tewas 1-2 hasil sepakan penalti pada babak kedua perlawanan.
Gol tunggal Selangor dijaringkan Ellie Aiboy untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama permainan.
Kelmarin Selangor berjaya menewaskan Stirling Lions FC 3-1.
Kekalahan itu sebenarnya memberi hikmah buat jurulatih Dollah Salleh kerana barisannya semakin bertenaga sepanjang beraksi dengan 10 pemain.
“Inilah yang saya mahukan. Pemain bermain semakin baik dengan kawalan padang kemas serta berjaya menekan lawan.
“Keadaan seumpama ini tidak pernah berlaku. Apa yang menarik, mereka cukup berdisiplin dengan tugasan masing-masing sehinggakan kita berjaya membentuk kawalan mantap di benteng, tengah dan serangan.
“Malah beberapa ketika, kami hampir berjaya menjaringkan gol. Inilah yang saya mahukan. Keputusan perlawanan sama ada menang atau kalah tidak penting.
“Pada saya gerakan tersusun dengan pemain terus fokus menjadi keutamaan,” katanya selepas perlawanan.
Dollah tetap memuji barisan pemain yang diturunkan serta gandingan Bambang Pamungkas, Khalis Jamlus, Ellie serta penguasaan tengah yang dipimpin K Sanbagamaran.
Kepada satu soalan, Dollah mengakui dia sudah boleh membayangkan kesebelasan utama untuk memulakan saingan Liga M, nanti.
Mengulas perlawanan itu, Dollah berkata Sorrento FC yang memiliki barisan pemain bertubuh besar mengamalkan corak permainan keras dan kasar.
“Ini serba sedikit mengganggu konsentrasi pemain, terutama pada babak kedua. Ada pemain yang ragu-ragu ketika mengawal bola. Saya tahu mereka bimbang ditimpa kecederaan.
“Kerana itu kita melepaskan gol mudah diikuti gol kedua hasil sepakan penalti. Apapun saya gembira, pemain berjaya menguasai aksi lasak itu dengan bermain lebih keras dan agresif. Corak begini perlu dan saya rasa cukup serasi dengan Selangor,” katanya.
Selangor akan berdepan Perth Soccer Club atau lebih dikenali Perth Italia pada perlawanan terakhir Sabtu ini.
Dollah berharap barisannya terus mempamerkan aksi konsisten seperti ditunjukkan dalam dua perlawanan terdahulu.
Sementara itu pengurus pasukan, Datuk Satim Diman kesal dengan cara pengadil mengadili perlawanan itu yang katanya “menyebelahi” tuan rumah.