Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.01.05

Selangor benam Perth Italia

 

SELANGOR menamatkan latihan pra musim di Perth, Australia dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Perth Soccer Club, kelmarin.

Tiga gol yang mencalarkan reputasi kelab tertua itu, sebelum ini dikenali sebagai Perth Italia, dijaringkan rangkaian penyerang Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Amri Yahyah.

Kemenangan itu juga menepati matlamat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang berbelanja besar menjalani persiapan Liga Perdana 2005 sepanjang seminggu di Australia Barat.

Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman merumuskan kunjungan ke Perth sebagai berjaya menghasilkan pasukan lasak, berdisiplin tinggi dan berdaya saing.

“Saya berpuas hati dengan kerja keras Dollah Salleh membentuk pasukan ini dalam tempoh terdekat serta komitmen pemain yang bersungguh-sungguh mahu menjadikan pasukan ini disegani semula. Saya percaya kami sudah bersedia untuk memulakan saingan Liga Perdana ini,” katanya selepas perlawanan itu.

Dalam tiga siri ujian, Selangor mencatatkan dua kemenangan menewaskan Stirling Lions FC 2-1 dan Perth Soccer Club 3-0 tapi tewas 1-2 kepada Sorrento FC dalam perlawanan yang dicemari kekasaran serta pengadilan berat sebelah.

“Kita mendapat lawan kesemuanya yang berada dalam kelompok lima teratas Liga Australia Barat. Berdasarkan keputusan perlawanan, ini adalah pencapaian memberangsangkan. Saya berharap aksi konsisten di sini akan memberikan kami keyakinan untuk berdepan Melaka dalam Liga Perdana dan Pahang, Piala FA,” tegasnya.

Satim turut mengesahkan akan mengikat pemain bek kebangsaan Lubnan, Badawi Farah. Badawi juga pernah menyarung jersi skuad Olimpik Australia 2000.

“Dia adalah calon terbaik di posisi benteng untuk melengkapkan kuota import. Kita akan memulakan rundingan sebaik saja pulang ke Selangor.

“Saya yakin tenaga import musim ini - Bambang, Ellie Aiboy, Brian Fuentes dan Badawi akan serasi bergandingan dengan pemain tempatan untuk membolehkan Selangor pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Sementara itu, Dollah yakin dengan keupayaan barisan pemainnya yang melalui ujian lasak di Perth.

Berdepan dengan pemain yang dua kali ganda saiz badan serta aksi kasar, cukup untuk menyediakan barisan yang akan memulakan saingan liga selepas ini.

“Kesimpulannya saya sudah mendapatkan kesebelasan utama yang boleh bermain dalam apa juga situasi.

“Persefahaman pemain semakin bagus terutama di jentera serangan dan tengah. Gandingan Khalid, Bambang, Brian dan Ellie cukup serasi, diikuti penguasaan tengah oleh K Sanbagamaran dan Shukur Adan.

“Cuma sedikit yang perlu ditekankan di bahagian pertahanan. Namun kehadiran Badawi kelak akan menutup sedikit sebanyak kelemahan. Saya juga gembira kerana barisan gantian turut meningkat mendadak.

“Tanpa pemain utama, mereka mampu melaksanakan tugas dengan berkesan. Pada saya, antara mereka memiliki kebolehan seimbang,” jelas Dollah.

Ditanya kemenangan besar 3-0 ke atas Perth Soccer Club, Dollah mengakui berasa bangga kerana barisannya menamatkan keegoan kelab berpengaruh itu.

“Saya difahamkan belum ada pasukan negeri atau kelab dari Malaysia berjaya menewaskan mereka sejak sekian lama.

“Sekurang-kurangnya kita berjaya mencatatkan rekod sebagai pasukan pertama melakukannya. Inilah yang membanggakan saya,” katanya yang menerima pujian daripada beberapa pegawai kelab berkenaan, warga Malaysia yang menetap di sekitar Perth serta penonton tempatan.