28.01.05
Selangor mula diulit yakin
Oleh: Berita Harian
Biarpun baru menempuh perlawanan persahabatan pertama dalam kunjungan ke Australia sebagai persediaan menghadapi kempen Liga Perdana musim ini, bibit keyakinan Selangor boleh mencapai sasaran layak ke saingan Liga Super musim depan mula dirasakan oleh Dollah Salleh.
Jurulatih Selangor itu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menewaskan kelab Liga Bola Sepak Negeri (NSL), Stirling Lions FC 3-1 kelmarin dan percaya sudah menemui formula sebenar untuk mencapai sasaran berkenaan seperti diletakkan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
“Rasanya saya sudah menemui kesebelasan pertama yang saya mahu turunkan selepas ini. Semalam (kelmarin) saya berpeluang untuk menurunkan semua pemain kesebelasan yang saya fikirkan selama ini,” katanya ketika dihubungi di Perth semalam.
Bekas jurulatih MPPJ Selangor itu berkata, K Sanbagamaran dan Shukor Adan memainkan peranan yang sangat penting di bahagian tengah manakala penyerang skuad Indonesia dan Malaysia, Bambang Pamungkas dan Khalid Jamlus pula menunjukkan keserasian ketika bergandingan sebagai penyerang.
Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman pula berkata dua pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy dan Bambang menunjukkan corak permainan yang sangat memberangsangkan biarpun baru kali pertama bermain bersama dengan pemain Selangor yang lain.
Katanya, Elie menunjukkan larian yang sangat bagus ketika beraksi sebagai pemain sayap kanan walaupun kurang mendapat bantuan daripada rakan yang lain.
“Pada peringkat awal, saya melihat Elie tidak banyak mendapat umpanan daripada rakan. Bagaimanapun jurulatih segera membuat teguran dan selepas itu barulah Elie banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Stirling Lions FC,” katanya.