09.02.05
Amaran Dr Khir kepada Selangor
Oleh: Harian Metro

Perasmian jersi Selangor 2005 (selangorfc)
“TIADA Piala Malaysia, tiada bonus”. Itulah peringatan tegas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, terhadap pemain pasukan Merah Kuning itu mengenai tanggungjawab besar yang perlu mereka pikul.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, Piala Malaysia amat penting bagi Selangor tahun ini kerana hanya piala berprestij itu saja yang dapat mengubat duka rakyat negeri itu.
“Selangor dan Piala Malaysia ibarat isi dengan kuku, Selangor pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 29 kali dengan kali terakhir pada 2002.
“Kita tidak akan berikan bonus pada tiap-tiap perlawanan yang kita menang, kita hanya berikan bonus jika kita menang Piala Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra antara Pemain dan Penyokong Pasukan Selangor di Dataran Shah Alam, malam tadi.
Dalam majlis itu, Selangor menerima penajaan berjumlah RM5 juta daripada Kumpulan Gapurna.
Gapurna diwakili Ketua Bahagian Kejuruteraannya, Latib Rasol menyerahkan penajaan itu kepada Dr Mohamad Khir.
Dr Mohamad Khir berkata, dengan himpunan pemain terbaik, khidmat pengurus dan jurulatih serta penyokong terbaik, tiada sebab Selangor kalah dalam saingan tahun ini.
“Kita tidak boleh kalah, mesti menang semua perlawanan kerana tiada sebab untuk kita kalah.
“Jika pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan berusaha bersungguh-sungguh, tidak ada sebab Selangor tidak boleh menjadi juara kali ini,” katanya.
Beliau berkata, pemain Selangor perlu menunjukkan permainan yang konsisten dalam setiap perlawanan dan bukannya seperti air laut yang mempunyai pasang surut hingga mewujudkan dilema kepada penyokong pasukan negeri itu.
“Sejak kebelakangan ini, pasukan Selangor kadang-kadang kuat, kadang-kadang lemah, kadang-kadang hebat, kadang-kadang kecut.
“Penyokong jadi gusar hendak datang menyokong."
“Mereka tidak sanggup lihat lagi permainan merosot hingga dicemuh orang lain,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pemain, jurulatih dan pegawai pengurusan Selangor supaya sentiasa berdisiplin terutama yang membabitkan jadual latihan.
“Saya akan buat `spot check’ (pemeriksaan mengejut), kalau pemain, jurulatih dan pengurusan datang lambat, saya janji akan mengambil tindakan serta-merta.
“Jangan nanti saya terpacak di padang, seorang pun tak datang,” katanya.
Katanya, pemain juga perlu menjaga moral mereka supaya tidak terbabit dengan pelbagai kegiatan negatif hingga menjejaskan imej pasukan Merah Kuning.
“Kita tidak mahu pemain yang tidak bermoral,” katanya.