03.02.05
Awas Selangor - Fandi
Oleh: Kamarulzaman Pid, Harian Metro
HIMPUNAN pemain bertaraf bintang menjadikan pasukan Selangor tahun ini antara calon merangkul Piala Malaysia.
Pendapat itu disuarakan bekas bintang Singapura yang kini menjadi jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara itu, Fandi Ahmad.
Fandi berkata, kekuatan utama skuad Merah Kuning itu terletak kepada barisan pemain kebangsaan dan pemain import yang begitu hebat.
“Selangor kali ini nampak lebih kuat kerana kehadiran pemain bertaraf bintang seperti Khalid (Jamlus), Shukor (Adan), Amri (Yahyah), Elie Aiboy, Bambang Pamungkas serta Brian Fuentes.
“Mereka ini adalah tonggak pasukan kebangsaan Malaysia dan Elie tonggak pasukan Indonesia serta Bambang juga pernah mewakili negaranya.
“Jadi, mereka mempunyai kekuatan yang mencukupi kerana pemainnya berpengalaman dan pemain simpanan juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin, Selangor seri 1-1 dengan pasukan bawah 23 tahun Singapura.
Fandi berkata, Selangor juga beruntung mendapat khidmat rakan karibnya semasa beraksi dengan Pahang dulu, Dollah Salleh yang telah membuktikan kepakarannya apabila membantu Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), menjulang Piala Malaysia 2003.
“Dollah ialah seorang jurulatih yang bagus dan dengan adunan pemain bintang sedia ada, saya yakin Selangor adalah pasukan yang perlu diawasi tahun ini,” katanya.
Mengenai persembahan Selangor dalam perlawanan persahabatan itu, Fandi berkata, dia begitu tertarik dengan strategi yang digunakan pasukan Merah Kuning itu melalui hantaran pantas dan bijak menggunakan peluang yang terhidang.
“Corak permainan mereka begitu meyakinkan sekali dan banyak memberi masalah kepada pemain saya.
“Mereka begitu hebat di semua bahagian terutama serangan dan tengah, manakala bentengnya begitu kebal dengan kehadiran pemain memakai jersi nombor 6 (Badawi Farrah).
“Jika semua pemain menunjukkan persembahan seperti malam ini, pasukan ini boleh mencabar tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fandi berkata, pasukan bawah 23 tahun Singapura itu dibentuk bagi persiapan menghadapi Sukan Sea hujung tahun ini.
“Kebanyakan pemain diambil dari pasukan bawah 21 tahun Singapura dan Liga Singapura.
“Kita juga mempunyai 11 pemain yang diberi taraf kerakyatan Singapura bagi memperkuatkan cabaran dalam kejohanan itu nanti,” katanya.