13.02.05
Badawi senjata sulit Selangor
Oleh: Berita Harian
Bintang import baru Selangor dari kelab Nejmeh FC, Jordan, Badawi 'Buddy' Farah akan menjadi `senjata sulit' dan hanya diturunkan dalam kesebelasan utama bergantung kepada pasukan yang akan ditemui oleh skuad Merah Kuning.
Selangor tidak banyak pilihan walaupun menyenaraikan empat pemain import musim ini tetapi hanya tiga pemain dibenarkan diturunkan dalam satu-satu perlawanan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Buat Selangor tidak timbul sebarang masalah khusus kepada jurulatih Dollah Salleh untuk mengetepikan salah seorang dari mereka dalam satu-satu perlawanan.
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, Buddy, 27, akan diturunkan dalam kesebelasan bergantung kepada kekuatan lawan.
``Jika kita perlukan lebih jaringan gol untuk kemenangan, Buddy tidak diturunkan sebaliknya tiga serangkai Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Brian Fuentes akan menjadi sandaran.
``Sebaliknya, jika berdepan pasukan yang kuat dan memerlukan kekuatan di benteng pertahanan, Buddy akan diturunkan manakala salah seorang penyerang import akan direhatkan,'' ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad Selangor di padang FAS Kelana Jaya di sini, semalam.
Buddy yang pernah menyarung jersi kebangsaan Lebanon tiba dari Australia malam kelmarin, turut menjalani latihan yang dikendalikan oleh Dollah di sini.
Latihan tersebut turut disaksikan oleh Presiden Bolasepak Selangor (FAS) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Mengulas lanjut Satim berkata, Buddy tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama apabila Selangor menanti kunjungan TNB Kelantan di Stadium Shah Alam, malam esok.
Beliau menegaskan tidak timbul sebarang masalah buat Dollah untuk mengetepikan salah seorang daripada bintang import tersebut kerana keempat-empat mereka sudah mengetahui situasi yang ditetapkan oleh FAM.
``Bukan bermakna apabila salah seorang daripada mereka tidak disenaraikan bermakna khidmat tidak diperlukan tetapi ini semuanya bergantung kepada siapa lawan Selangor.
``Dollah ada perancangan dan strategi buat keempat-empat mereka ini dan tidak timbul masalah rasa tidak puas hati,'' tambahnya lagi.
Beliau menjelaskan khidmat Buddy akan diturunkan dalam kesebelasan utama apabila Selangor berdepan dengan Pahang dalam saingan pertama Piala FA, 23 Februari ini.
Beliau menyifatkan kehadiran bekas pemain kelab Wollongong Wolves itu akan menjadi suntikan untuk memantapkan benteng pertahanan skuad Selangor musim ini.
Ujarnya, pengalaman pemain itu yang pernah beraksi dengan kelab Copenghagen FC di Denmark pada 2001 dan Nejmeh di Lebanon musim lalu akan memperkukuhkan benteng Selangor dalam usaha memastikan buruan Selangor merampas kembali Piala Malaysia menjadi kenyataan.