02.02.05
Bambang permata baru
Oleh: Kamarulzaman Pid, Harian Metro
BAMBANG Pamungkas membuktikan dia adalah permata baru Gergasi Merah apabila menjaringkan gol pendahulu ketika berdepan skuad bawah 23 tahun Singapura di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Gol m-55 itu diperolehi selepas Selangor kebuntuan jaringan pada separuh masa pertama.
Singapura kemudiannya membalas menerusi Precious Emurejaye hasil sepakan bebas yang menewaskan Shahrizan Ismail m-70 untuk mengikat keputusan seri 1-1 hingga wisel penamat.
Barisan penyerang Selangor yang diketuai Khalid Jamlus, Bambang, Brian Fuentes dan Amri Yahyah berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Singapura pada separuh masa pertama.
Rangkaian jentera tengah yang dikepalai Shukor Adan dan Harris Safwan Kamal turut menghidupkan bahagian itu dengan menghasilkan umpanan mengelirukan pertahanan Singapura.
Kehadiran Badawi Farrah yang menjalani ujian dengan skuad Merah Kuning itu bersama Ahmad Tarmini Saiban berjaya mengikat penyerang Singapura daripada membolosi gawang.
Shahrizan yang diberi tanggungjawab menjaga gawang membuktikan ketangkasannya apabila berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya penyerang Singapura sepanjang perlawanan itu.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, nyata berpuas hati dengan aksi yang dipertontonkan anak buahnya sepanjang perlawanan itu meskipun bahang keletihan masih terasa selepas seminggu menjalani latihan pra-musim di Perth, Australia, minggu lalu.
“Saya memang berpuas hati dengan aksi kali ini kerana kita mencuba pelbagai kombinasi di semua bahagian serangan, tengah dan pertahanan.
“Ternyata pemain berjaya menerapkan apa yang diajar selama seminggu di Perth dulu dan ini adalah petanda baik kepada barisan Selangor kali ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus Datuk Satim Diman turut gembira dengan aksi Badawi yang bijak mengawal benteng dan mewujudkan persefahaman baik dengan Ahmad Tarmini.
“Kita amat berharap supaya Badawi menyertai pasukan ini kerana dia berjaya membuktikan keupayaannya di bahagian pertahanan.
“Kita cuma menunggu persetujuannya saja berdasarkan tawaran yang kita berikan padanya,” katanya.
Berdasarkan persembahan bertenaga yang ditunjukkan pemain Selangor, Satim amat berharap penyokong Merah Kuning akan membanjiri Stadium Shah Alam kali ini.
“Pasukan tahun ini memang berbeza kerana dipenuhi bintang kebangsaan dan Indonesia serta mengekalkan penjaring terbanyak tahun lalu, Brian Fuentes.
“Kita menyajikan pemain yang begitu bertenaga kali ini dan kerana itu penyokong Selangor perlu memberi sokongan dengan membanjiri stadium seperti zaman kegemilangan skuad ini beberapa tahun lalu,” katanya.