06.02.05
Detik sebenar Merah Kuning
Oleh: Berita Harian
Aksi sulung bola sepak Liga Perdana menentang Melaka di Stadium Hang Jebat malam ini bakal menentukan tahap sebenar kemampuan Selangor mendominasi saingan itu musim ini dan merealisasikan matlamat layak ke Liga Super musim depan.
Dengan dibarisi beberapa pemain utama skuad kebangsaan seperti Khalid Jamlus, Amri Yahyah dan Shukor Adan serta tonggak import berkualiti Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy dari Indonesia, Merah Kuning seharusnya tiada sebab untuk gagal meraih tiga mata penuh untuk mengesahkan label pasukan pilihan.
Apatah lagi, skuad itu yang mencanang sudah bersedia untuk merangkul semua piala termasuk membawa pulang Piala Malaysia ke Selangor musim ini mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan yang sanggup berbelanja besar mendapatkan pemain handalan.
Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman, berkata perlawanan menentang Melaka harus dijadikan titik permulaan kebangkitan Selangor untuk menjadi pasukan yang kembali digeruni di negara ini dan mengarahkan pemainnya mengotakan janji untuk memastikan kejayaan.
“Banyak yang diperkatakan mengenai kehebatan Selangor musim ini berikutan pembelian ramai pemain bintang seperti Khalid dan Bambang yang masing-masing dianggap penyerang terbaik Malaysia dan Indonesia. Saya mahu mereka buktikan kemampuan untuk memastikan kemenangan.
“Selangor tidak boleh gagal lagi kali ini selepas membuat pelaburan besar membentuk skuad yang mantap. Saya harap pemain akan mempamerkan kecemerlangan di atas padang seperti yang ditunjukkan semasa kunjungan ke Australia untuk persediaan menghadapi musim Liga Perdana ini,” katanya.