20.02.05
Dollah tidak mahu terlalu angkuh
Oleh: Berita Harian
Aksi merebut gelaran “Raja” Lembah Klang dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A malam ini bukan saja menuntut Dollah Salleh mengerah kepakarannya memastikan kejayaan Selangor untuk menewaskan Kuala Lumpur tetapi juga siapa barisan kesebelasan yang ingin diturunkan.
Dengan ramai pemain berkualiti dalam skuad termasuk empat tonggak import berkesan, jurulatih yang membimbing MPPJ Selangor melakar sejarah menjulang Piala Malaysia 2003 sebelum menyertai Merah Kuning musim ini sukar membuat pilihan siapa bakal menggalas cabaran untuk pertemuan menentang skuad warga kota itu.
Atas kertas Selangor dilihat sebagai pilihan berdasarkan dua kemenangan besar menewaskan Melaka 4-1 dan TNB Kelantan 6-1 sebelum ini tetapi Dollah tidak gemar rekod dijadikan ukuran dan menyifatkan Kuala Lumpur seperti mana-mana juga pasukan lain tetap lawan yang harus dihadapi dengan berhati-hati.
“Bagi saya tiada istilah lawan mudah kerana semua pasukan bertarung untuk menang. Lebih-lebih lagi menentang Kuala Lumpur yang tentunya ingin merebut gelaran Raja Lembah Klang dari Selangor.
“Saya juga tidak ambil peduli tanggapan ramai bahawa Selangor pasukan pilihan musim ini kerana bagi saya prestasi atas padang yang menentukan kejayaan,” katanya yang berdepan kesukaran menentukan kesebelasan utama dan strategi menyeimbangkan kekuatan skuad untuk menentang Kuala Lumpur.
Merah Kuning mendahului saingan Kumpulan A dengan enam mata dan barisan penyerang mereka yang menggandingkan penyerang kebangsaan Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas (Indonesia) dan Brian Fuentes (Argentina) penjaring hatrik dalam kedua-dua perlawanan sebelum ini dianggap terbaik dalam liga setakat ini.