10.02.05
Fuentas dahaga gol
Oleh: Harian Metro
KEHEBATANNYA menyumbat 25 gol menobatkannya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu. Bagaimanapun, kehebatan Brian Fuentes sebagai mesin pemusnah gagal membantu Selangor menempatkan diri dalam Liga Super tahun ini, liga paling berprestij di negara ini.
Sungguhpun, hanya beraksi dalam Liga Perdana buat dua musim berturut-turut, ia tidak membantutkan semangat Fuentes untuk memastikan hasrat pasukan Merah Kuning menakluk Piala Malaysia dan layak ke Liga Super dilaksanakan sedaya mungkin.
Fuentes yang mempunyai pengalaman bermain dalam liga Itali menaruh keyakinan tinggi terhadap prestasi Selangor musim ini apabila menyaksikan tanggungjawab menjaringkan gol turut dipikul bintang baru dalam pasukan itu.
“Kehadiran penyerang kebangsaan Khalid Jamlus, penyerang Indonesia Elie Aiboy dan rakannya, Bambang Pamungkas, akan membantu memantapkan jentera serangan pasukan ini.
“Saya yakin kami dapat membentuk serangan paling berbisa kali ini kerana semua bahagian mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya kepada Arena Metro.
Walaupun Merah Kuning menampilkan Khalid, Bambang dan Elie, ia nampaknya gagal membendung kehebatan Fuentes yang masih berupaya menunjukkan belangnya sebagai penyerang paling berbisa pasukan itu.
Ini dibuktikan apabila Fuentes mencipta rekod pemain pertama menjaringkan hatrik dalam kancah Liga Perdana musim ini dalam perlawanan sulung Liga Perdana menentang Melaka Ahad lalu.
“Saya memang berbangga apabila menjadi pemain yang mencipta hatrik dalam perlawanan pertama kami tetapi jaringan itu banyak dibantu rakan lain dalam pasukan ini.
“Tanpa kerjasama rakan lain, memang sukar bagi saya atau penyerang lain menghasilkan kemenangan pasukan Selangor,” katanya.
Fuentes yang berasal dari Buenos Aires berkata, selepas musim cemerlang yang diciptanya tahun lalu, dia berharap semoga musim keduanya bersama Selangor akan terus gemilang.
“Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mewujudkan persefahaman dengan pemain lain dalam pasukan ini kerana selepas setahun bersama mereka, saya memahami corak permainan masing-masing.
“Pemain seperti kapten pasukan Shukor (Adan), Amri (Yahyah) dan pemain lain banyak membantu saya ketika berada di sini dan kerana itu, amat berat sekali untuk saya berhijrah ke pasukan lain,” katanya.