01.02.05
Fuentes belum dapat yakinkan Dollah
Oleh: Berita Harian
STATUS penjaring terbanyak bola sepak Liga Perdana Malaysia 2004 masih belum memadai buat Brian Fuentes meyakinkan jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang lebih cenderung menggandingkan Bambang Pamungkas dan Khalid Jamlus bagi merealisasikan impian Merah Kuning untuk layak ke Liga Super musim depan.
Dollah berkata, berdasarkan aksi ketika kunjungan ke Australia baru-baru ini, dia lebih tertarik dengan corak permainan Bambang dan Khalid yang disifatkannya lebih sesuai dengan perancangannya untuk memastikan kejayaan Selangor musim ini.
Bagaimanapun, Dollah berkata, khidmat penyerang import dari Argentina itu tetap diperlukan dan dia bercadang untuk menukar posisi Fuentes supaya bermain di sayap kiri selepas usaha untuk membeli pemain posisi itu, K Rajan sebelum ini tidak berjaya kerana pemain itu tidak mendapat restu pasukannya, Negeri Sembilan.
“Saya akan menurunkan Bambang dan Khalid untuk bertindak sebagai penyerang kembar dalam perjuangan tahun ini. Oleh itu, saya terpaksa menukar posisi Brian”, katanya.
Fuentes menjaringkan 25 gol pada musim lalu tetapi masih gagal membantu Selangor layak beraksi dalam Liga Super musim ini.
Kekecewaan itu menyebabkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membeli ramai pemain baru seperti Bambang, Khalid, Elie Aiboy, K Sanbagamaran, Nazrulerwan Maamor dan Nazzab Hidzan serta terbaru pemain pertahanan Australia Buddy Farah untuk memastikan mereka layak beraksi dalam Liga Super musim depan.
Menurut Dollah, Bambang dan Khalid menunjukkan corak permainan yang sangat memberangsangkan ketika kunjungan ke Australia baru-baru ini di mana Selangor mencatat dua kemenangan dan satu kalah dalam perlawanan persahabatan menentang kelab liga negara itu.
Bekas jurulatih MPPJ Selangor itu juga mengakui tertarik dengan komitmen Elie yang mempunyai corak larian pantas dan sentiasa mahu melakukan serangan serta memiliki kekuatan stamina yang menakjubkan.
“Semangat Elie sangat tinggi dan saya berharap dia mampu mengekalkan corak permainannya itu dalam Liga Malaysia. Elie mempunyai corak larian yang sangat kencang dan mengelirukan. Dia juga mempunyai kemahiran mengawal bola dengan baik dan sentiasa mahu menggelecek pemain lawan,” katanya yang turut memuji persembahan pemain tempatan seperti Shukor Adan dan Sanbagamaran.