21.02.05
Kuala Lumpur 1 Selangor 4 (Liga Perdana)
Oleh: misai117
Kuala Lumpur gagal menyekat penguasaan Selangor dalam perebutan tempat teratas Kumpulan A dalam aksi Liga Perdana 2005 di Stadium KLFA, Cheras walaupun pada suatu ketika mendahului 1-0, apabila tumbang 1-4 di tangan Selangor malam tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut Selangor ini memastikan Selangor terus mengungguli Kumpulan A dengan 9 mata maksimum. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Aksi awal menyaksikan Selangor gagal melancarkan gerakan menarik ke arah kubu Kuala Lumpur sementara pasukan tuan rumah menghidangkan aksi pantas yang mengucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor yang ditunjangi Nazrul Erwan, Tharmini Saiban, Saifu Nizam dan D. Surendran.
Hasilnya, pada minit ke-12, S. Sunder bijak melepasi kawalan Tharmini Saiban untuk merembat deras dari sebelah kiri dan tidak dapat diselamatkan oleh Shahrizan Ismail. Selepas gol tersebut, barisan pertahanan seolah-olah hilang arah dengan Tharmini Saiban sering melakukan kesilapan, namun ketenangan Nazrul Erwan membolehkan benteng Selangor selamat daripada dibolosi barisan serangan Kuala Lumpur.
Aksi hambar barisan serangan Selangor berakhir pada 5 minit terakhir sebelum tamat separuh masa pertama. Beberapa percubaan Selangor berjaya dikekang pertahanan Kuala Lumpur dan Elie Aiboy dikawal begitu ketat,.Namun, dalam waktu kecederaan dua minit sebelum tamat separuh masa, K. Sanbagamaran berjaya membuat satu hantaran silang yang jauh dan berjaya ditanduk kemas oleh ketua pasukan, Mohd Shukor Adan. Gol tersebut melegakan Dollah Salleh untuk kedudukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Aksi separuh masa kedua dimulakan Selangor dan tanpa menunggu lama, pada minit ke-49, Bambang Pamungkas berjaya merembat deras dari sudut sukar untuk jaringan kedua Selangor. Gol berpunca daripada hantaran lintang Shukor Adan yang gagal ditanduk oleh Fuentes dan Khalid, tetapi bola menuju ke arah Bambang yang tidak dikawal dan terus merembat masuk untuk kedudukan 2-1.
Ketika Kuala Lumpur cuba mencari gol penyamaan, barisan pertahanan mereka bocor lagi. Kali ini, hasil serangan balas yang dilakukan Selangor. Fuentes yang mendapat bola di bahagian tengah padang, bijak melorongkan bola ke sebelah kiri dan dikejar oleh Bambang Pamungkas yang kemudiannya melepaskan rembatan yang sama sekali gagal ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Saiful Amar Sudar untuk kedudukan 3-1 pada minit ke-68.
Pada minit ke-77, giliran Brian Fuentes pula untuk mencatatkan nama selaku penjaring gol. Hasil hantaran silang oleh Khalid Jamlus dari sebelah kiri, bola disambut baik oleh Bambang Pamungkas. Melihat tiada ruang untuk beliau melakukan percubaan, Bambang melorongkan bola ke arah Fuentes yg tidak dikawal, lalu melepaskan rembatan kemas dalam kotak penalti untuk gol keempat Selangor dan gol ke-7 beliau musim ini.
Pada minit ke-79, Amri Yahyah masuk menggantikan Khalid Jamlus sementara Haris Safwan menggantikan Elie Aiboy pada minit ke 84 dan seminit kemudian Nazzab Hidzan masuk menggantikan K. Sanbagamaran. Namun, kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
SELANGOR:
22- Shahrizan Ismail, 2- Tharmini Saiban, 5- Nazrul Erwan, 6- Saifu Nizam, 19- D. Surendran, 8- Elie Aiboy (9- Haris Safwan), 12- K.Sanbagamaran (7- Nazzab Hidzan), 25- Shukor Adan (K), 10- Brian Fuentes, 23- Khalid Jamlus(17- Amri Yahyah), 20- Bambang Pamungkas.