07.02.05
Liga Perdana: Melaka 1 Selangor 4
Oleh: misai117

Bambang Pamungkas (NSTP)
Selangor memulakan kempen Liga Perdana 2005 dengan mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Melaka di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. Dengan disaksikan kira-kira 5000 penonton, Melaka ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Turut hadir, Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Selangor.
Selangor menurunkan hampir kesemua pemain utamanya kecuali Khalid Jamlus. Shahrizan Ismail dipertanggungjawab untuk menjaga gawang, dibantu Nazrul Erwan, Tarmini Saiban, Aiman Firdaus dan P.Gunalan di barisan pertahanan. Barisan tengah dikemudi oleh ketua pasukan, Shukor Adan dan dibantu oleh K.Sanbagamaran, Elie Aiboy dan Brian Fuentes sementara Bambang Pamungkas dan Haris Safwan ditugaskan sebagai penyerang.
Selangor bermula garang apabila melancarkan serangan demi serangan sebaik wisel mula ditiup. Hasilnya Selangor mendapat gol pembukaan seawal minit ke-2.Gol pertama Selangor dijaringkan oleh Brian Fuentes. Gol tersebut berpunca dari gerakan yang dimulakan oleh Elie yang menghantar bola kepada Haris yang menguis pendek kepada Bambang. Bambang kemudiannya melebarkan bola ke arah Fuentes di sebelah kiri yang tidak dikawal dan bijak disempurnakan oleh Fuentes menerusi rembatan kaki kanan.
Selang 6 minit kemudian, Selangor mengutip gol kedua hasil penyudah berkesan dari Bambang Pamungkas. Sepakan percuma yang diambil Elie bijak ditanduk oleh Bambang yang melayangkan badannya untuk menanduk bola rendah tersebut terus ke dalam gol. Gol tersebut cukup menggembirakan puluhan warga Indonesia yang turut hadir bagi memberi sokongan kepada Bambang dan Elie Aiboy.
Melaka terus tertekan selepas itu. Tidak lama kemudian, Selangor melebarkan jaringan kepada 3-0 pada minit ke-18 menerusi Brian Fuentes. Gol tersebut terhasil setelah Bambang membawa bola ke penjuru kanan padang dan menolak pendek kepada Elie yang kemudiannya membuat hantaran ke tengah kotak penalti dan bola tersebut muntah dari dakapan penjaga gol Melaka, lalu Fuentes yang berada di situ bijak untuk menguis masuk bola ke dalam gol walaupun cuba dicabar pertahanan lawan.
Tamat separuh masa pertama, Melaka ketinggalan 3-0.Bermula separuh masa kedua, Melaka tampak garang dan mula melancarkan beberapa serangan. Hasilnya, mereka dapat merapatkan sedikit jurang gol.
Gol pertama Melaka terhasil menerusi sepakan penalti oleh Safri Amit pada minit ke-47. Melaka memperolehi penalti setelah Gunalan menjatuhkan penyerang Melaka di sebelah kiri gawang Selangor. Safri Amit dengan tenang menyempurnakan penalti tersebut.
Melaka terus memburu untuk merapatkan jurang, namun Selangor yang lebih bernasib baik apabila memperolehi gol ke-4 yang sekaligus mematikan cabaran Melaka dalam perlawanan ini.
Gol keempat Selangor disempurnakan pada minit ke-60 oleh Brian Fuentes yang mencipta hatrik pada malam ini. Gol tersebut hasil sepakan percuma Elie Aiboy dari sebelah kiri dan Fuentes pantas menyambar bola dan menanduk tipis terus ke dalam gawang gol.
Selepas itu, Selangor mula memperlahankan rentak dengan membuat dua pertukaran serentak pada minit ke-65 dengan memasukkan D.Surendren bagi merehatkan Fuentes dan memasukkan Amri Yahyah bagi menggantikan Haris Safwan yang tampak kurang berkesan di bahagian depan.
Namun, kemasukkan Surendren mendatangkan petaka kepada Selangor apabila dia dilayangkan kad merah pada minit ke-75 setelah bercakaran dengan pemain Melaka yang turut diperintahkan keluar padang.Insiden berlaku apabila Surendren mengasari pemain lawan, dan pemain tersebut bertindak balas dan dilayangkan kad merah. Namun pergeseran kecil berlaku menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain tersebut.
Kedua-dua pasukan yang selepas itu beraksi dengan 10 orang gagal menambah jaringan dan kedudukan 4-1 kekal hingga ke wisel penamat dan sekaligus menghadiahkan Selangor 3 mata penuh.
Secara keseluruhan, corak permainan Selangor pada malam ini agak teratur dan serangan lebih bertenaga berbanding ketika perlawanan persahabatan pra-musim. Kehadiran Elie Aiboy banyak membantu menggerakkan jentera serangan Selangor dengan hantaran bola yang tepat dan cantik selain sepakan percuma yang berkesan. Di bahagian tengah, Sanbagamaran dan Shukor bermain agak baik tanpa melakukan kesilapan besar. Sementara bahagian pertahanan agak kebal biarpun terdapat sedikit kepincangan di sebelah kiri yang dikemudi P.Gunalan. Ketiadaan Khalid Jamlus sedikit mengurangkan ketajaman di bahagian serangan di mana Haris dilihat kurang berkesan dan tidak dapat membentuk persefahaman yang baik dengan Bambang.
SELANGOR:
21-SHAHRIZAN ISMAIL, 18-AIMAN FIRDAUS, 2-TARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 15-P GUNALAN, 8-ELLIE AIBOY, 12-K SANBAGAMARAN, 25-SHUKOR ADAN, 10-BRIAN FUENTES (19-D SURENDREN), 9-HARIS SAFWAN (17-AMRI YAHYAH), 20-BAMBANG PAMUNGKAS