Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.02.05

Merah Kuning dikerah pamer aksi bermutu

Oleh: Berita Harian

Selepas berbelanja besar untuk membentuk skuad paling mantap musim ini Selangor dituntut mempamerkan aksi berkualiti di atas padang sambil menggapai sasaran yang ditetapkan terutama layak ke Liga Super musim depan dan menjulang Piala Malaysia.

 

Peringatan itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang berharap Merah Kuning mula mempamerkan kehebatan sebaik sepak mula saingan Liga Perdana Malaysia bertemu Melaka di tempat lawan esok.

 

Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan skuad Selangor musim ini yang dibarisi ramai pemain kebangsaan dan tonggak import berkualiti harus beraksi dengan baik supaya bukan saja mampu memastikan kemenangan tetapi juga menarik kehadiran lebih ramai penonton ke stadium.

 

“Saya anggap skuad yang dimiliki Selangor musim ini adalah yang terbaik pernah dibentuk dan tiada sebab mereka harus gagal.

 

“Saya juga amat yakin skuad ini mampu mencatat kejayaan yang diharapkan iaitu layak ke Liga Super dan menjulang Piala Malaysia.

 

“Kita akan pastikan Piala Malaysia akan kembali berada di Selangor,” katanya selepas majlis sarapan bersama skuad Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam Selangor.

 

Selangor membuat perubahan radikal musim ini dengan memikat 13 pemain terkenal tempatan termasuk penyerang utama dua skuad kebangsaan, Khalid Jamlus (Malaysia) dan Bambang Pamungkas (Indonesia) dalam usaha mereka menggapai matlamat layak yang disasarkan.

 

Selain Bambang yang dianggap antara penyerang terbaik Indonesia, Merah Kuning juga membawa rakan karibnya Elie Aiboy untuk memantapkan jentera tengah di samping mengekalkan penjaring terbanyak mereka musim lalu, Brian Fuentes.

 

Mereka juga kini dalam proses akhir menyiapkan kontrak untuk membawa masuk pemain skuad Piala Dunia Remaja Australia, Badawi Farrah untuk melengkapkan kuota pemain import dan menjadi tonggak di barisan pertahanan.

 

Mohamad Khir juga mengingatkan bahawa misi Selangor musim ini bukan saja untuk menjulang kejuaraan tetapi juga menarik kembali sokongan peminat setia mereka.

 

“Kita mahu skuad Selangor bukan saja beraksi untuk memburu kemenangan tetapi juga mempamerkan aksi berkualiti supaya boleh menarik kehadiran ramai penonton ke stadium,” katanya.

 

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Satim Diman menjelaskan Badawi yang dipikat semasa kunjungan ke Australia akan tiba di negara ini pada 10 Februari dan bakal menandatangani kontrak beberapa hari kemudian.

 

Menurut Satim, Selangor mungkin akan menurunkannya kali pertama pada perlawanan penting menentang Pahang dalam saingan pertama Piala FA 23 Februari nanti.