01.02.05
Misi Selangor cipta barisan ampuh tercapai
Oleh: Kamarulzaman Pid, Harian Metro
DIBARISI pemain bertaraf bintang, Selangor begitu gah kali ini mencapai sasaran mendakap Piala Malaysia dan layak ke Liga Super tahun depan.
Ketajaman di barisan serangan dipamerkan skuad itu dalam kunjungan ke Perth, Australia, selama seminggu, yang berakhir kelmarin.
Ini dibuktikan apabila skuad Merah Kuning itu membaham ego Perth Soccer Club 3-0, selepas mencatat kemenangan bergaya ke atas Stirling Lions FC 2-0 sebelum tumpas 1-2 dalam perlawanan kontroversi dengan Sorento FC.
Misi mencari penggempur impian sudah terlaksana apabila semua penyerangnya diketuai penyerang kebangsaan Khalid Jamlus, Amri Yahyah, Mohd Harris Safwan Kamal serta penyerang import Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Ellie Aiboy berjaya mempamerkan taring masing-masing.
Keadaan itu sebaliknya menyebabkan jurulatihnya, Dollah Salleh `pening’ untuk memilih dua penggempur paling berbisa.
“Masalah yang saya hadapi sekarang ini untuk memilih siapa yang akan bermain dalam kesebelasan utama. Itu yang menjadi dilema saya sekarang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Katanya, barisan pemain tengah yang diketuai kapten, Shukor Adan dan bekas kapten Sabah, K Sanbagamaran, D Surendran, P Gunalan dan Leong Hong Seng cukup serasi walaupun hanya berpeluang digandingkan bersama sepanjang tiga perlawanan persahabatan itu.
“Ketika ini, barisan tengah begitu ampuh sekali dengan kehadiran pemain berpengalaman termasuk bekas kapten Melaka, Nazzab Hidzan yang masih bergelut untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan,” katanya.
Dollah berkata, kehadiran pemain import terbaru, Badawi Farah, di bahagian pertahanan bergandingan dengan pemain tempatan juga, Ahmad Tarmini Saiban, berjaya mengukuhkan benteng pasukan Merah Kuning itu.
“Posisi penjaga gol juga begitu ampuh dengan kehadiran Mohd Shahrizan Ismail yang bergaya mempamerkan ketangkasannya, dan ia menjadi berita baik buat Selangor berikutan Jamsari Sabian masih belum cergas sepenuhnya,” katanya.
Selepas berpuas hati dengan persembahan anak buahnya di Perth Australia, Dollah kini merencanakan strategi menentang skuad bawah 23 Singapura di Stadium Shah Alam, malam ini.
“Perlawanan ini akan menjadi aksi penentu bagi kesebelasan utama yang akan diturunkan dalam aksi sulung Liga Perdana bertemu Melaka 6 Februari ini.
“Saya akan menggunakan perlawanan ini bagi mencari kombinasi paling mantap di semua bahagian dan berharap pemain mengambil kesempatan untuk memikat hati saya nanti,” katanya.