19.02.05
Previu: Kuala Lumpur lwn Selangor
Oleh: misai117 & angah316
Pasukan Selangor meneruskan persiapan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium KLFA dengan menjalani latihan harian di sini petang tadi.
Semua 25 pemain dilihat berada di atas padang latihan dengan Fairuz Montana, Aiman Firdaus dan Azlisham Ibrahim masih dibelenggu kecederaan. Montana dan Aiman hanya menjalani latihan ringan sementara Azlisham dilihat melatih penjaga gol skuad simpanan dan skuad remaja.
Suasana latihan berlangsung dalam keadaan ceria dengan kemesraan tergambar di kalangan para pemain dan ini mencetuskan suasana harmoni dalam kem latihan Selangor. Selain ketua jurulatih Dollah Salleh, penolong jurulatih Rosedy Mohd Nazir dan Razali Alias, turut hadir ialah Pengurus Pasukan, Dato Satim Diman.
Selepas seisi memanaskan badan, para pemain dibahagikan kepada 2 pasukan dengan Pasukan A dibarisi Shahrizan Ismail selaku penjaga gol, Tharmimi Saiban bersama-sama Nazrul Erwan, Saifu Nizam dan D Surendran di bahagian pertahanan, Elie Aiboy, K Sanbagamaran, Shukor Adan dan Brian Fuentes di bahagian tengah sementara Khalid Jamlus dan Bambang Pamungkas di barisan hadapan.
Sementara Pasukan B pula dibarisi Jamsari Sabian, P Gunalan, Razman Roslan, Buddy Farah, S Sivaram, Razali Alias, Fadhil Hashim, Nazzab Hidzan , Norhisham Kamarudin, Haris Safwan dan Amri Yahyah.
Selain itu, Dollah turut menumpukan set-piece untuk sepakan percuma dan beberapa pemain dilihat mampu melakukan sepakan yang baik ke arah pintu gol. Andai menjadi, pastinya ia mampu mendatangkan bahaya kepada benteng Kuala Lumpur pada Ahad ini.
Pengurus Pasukan, Dato Satim Diman ketika ditemui berkata, pertemuan pasti seimbang kerana kedua-dua pasukan ketika ini berada di kedudukan teratas Liga Perdana Kumpulan A dan hanya terpisah dari segi perbezaan gol. Beliau dilihat turut memberi kata-kata semangat kepada para pemain sejurus tamat latihan.
Ketua Jurulatih, Dollah Salleh pula ketika diajukan tentang laporan mengenai benteng Selangor agak rapuh, berkata tiada masalah berlaku pada barisan pertahanan Selangor dan beliau berharap agar Selangor dapat meneruskan rentak kemenangan Ahad ini. Walabagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang pemain yang bakal disenaraikan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur.
BARISAN KEMUNGKINAN SELANGOR:
22-Shahrizan, 2-Tharmini, 5- Nazrul, 6- Saifu Nizam, 19- Surendran, 8- Elie Aiboy, 12- Sanbagamaran, 25- Shukor, 10- Fuentes, 23- Khalid, 20- Bambang.