Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.02.05

Selangor 4 NTFA Penang 1 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

NTFA Pulau Pinang menjadi mangsa terbaru Selangor apabila dibelasah 4-1 oleh Gergasi Merah di Stadium Shah Alam, malam tadi. Disaksikan kira-kira 5000 orang penyokong, angka kemenangan 4-1 itu adalah sama seperti ketika Selangor membenam Juara Liga Super 2004, Pahang dalam saingan Piala FA Rabu lalu.

 

Selangor merehatkan beberapa tonggak utama dalam kesebelasan utamanya. Jamsari Sabian diturunkan buat pertama kali menggantikan Shahrizan Ismail di gawang gol sementara Nazzab Hidzan mengisi kekosongan Shukor Adan di bahagian tengah.

 

Buat seketika, Selangor dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-5 oleh Cheah Keng Seng yang menolak masuk bola hasil daripada keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Selangor. Gol berpunca dari sepakan percuma dari sebelah kiri oleh pasukan NTFA Pulau Pinang dan bola tersebut gagal ditangkap oleh Jamsari Sabian lalu menyebabkan berlaku keadaan kelam kabut tersebut.

 

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-27, sepakan sudut Elie Aiboy ditanduk ke hadapan pintu gol oleh Bambang Pamungkas dan ditolak mudah oleh Khalid Jamlus untuk gol penyamaan Selangor.

 

Selangor kemudiannya mendahului 2-1 pada minit ke-35 menerusi gol oleh ketua pasukan, K. Sanbagamaran. Sepakan penjuru yang diambil D. Surendran pantas disambar oleh K. Sanbagamaran yang menanduk terus ke dalam gawang NTFA Pulau Pinang dan kedudukan 2-1 kekal sehingga rehat.

 

Babak kedua dimulakan dengan Selangor memasukkan pemain muda berusia 21 tahun, Razman Roslan bagi menggantikan Nazzab Hidzan yang dilihat kurang menyerlah pada malam ini. Kemasukkan Razman menampakkan penguasaan penuh pasukan Selangor di bahagian tengah padang.

 

Pada minit ke-55, Amri Yahyah pula dimasukkan menggantikan K. Sanbagamaran dan tugas ketua pasukan digalas pula oleh Nazrul Erwan.

 

Selang dua minit kemudian, Brian Fuentes meneruskan kehebatannya apabila melakukan rembatan cantik dari sebelah kiri padang dan mengelirukan penjaga gol NTFA Pulau Pinang untuk gol ke-3 Selangor pada minit ke-57. Gol tersebut merupakan gol ke-8 Fuentes dalam aksi Liga Perdana musim ini.

 

Minit ke-61, kedudukan menjadi 4-1 apabila hantaran lintang Elie Aiboy disambut baik dengan lonjakan tinggi oleh Bambang Pamungkas yang mudah menanduk masuk ke dalam gawang untuk memastikan Selangor terus berpesta jaringan.

 

Selepas itu, Haris Safwan pula dimasukkan bagi menggantikan Khalid Jamlus, namun kedudukan 4-1 kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan Selangor terus mendahului Liga Perdana Kumpulan A dengan 12 mata maksimum selepas tamat 4 perlawanan.

 

1-JAMSARI SABIAN, 2-THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 6-SAIFU NIZAM, 19-D.SURENDRAN, 7-NAZZAB HIDZAN (3-RAZMAN ROSLAN), 8-ELIE AIBOY, 12-K.SANBAGAMARAN (17-AMRI YAHYAH), 10-BRIAN FUENTES, 23-KHALID JAMLUS (9-HARIS SAFWAN), 20-BAMBANG PAMUNGKAS.