Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.02.05

Selangor 4 Pahang 1 (Piala FA)

Oleh: pippo

Rentak kecemerlangan Selangor diteruskan malam ini apabila skuad Merah Kuning itu membenam Pahang 4-1 pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam. Penyerang Mohd Khalid Jamlus meletakkan Selangor di hadapan seawal minit ke 11 apabila menolak masuk sepakan percuma D Surendran dari luar kotak penalti.

 

Dengan sokongan lebih 30 000 penonton, skuad Merah Kuning menggandakan asakan dan Bambang Pamungkas menambah jaringan 7 minit kemudian menjadikan kedudukan 2-0. Pahang yang turun tanpa 3 pemain utama, Indra Putra Mahayudin, Rosdi Talib dan Norhafiz Zamani Misbah seakan hilang punca di saat serangan bertali arus pasukan tuan rumah.

 

Tatkala Selangor mula menguasai permainan, malang menimpa apabila kapten pasukan Shukor Adan terpaksa dikeluarkan di pertengahan babak pertama akibat kecederaan dan digantikan dengan Nazzab Hidzan. Penguasaan Selangor menjadi sedikit longgar namun kedua-dua pasukan keluar rehat dengan keputusan kekal 2-0.

 

Separuh masa kedua bermula dengan Selangor mambuat pertukaran menggantikan D Surendran yang tercedera dengan Amri Yahyah. Pahang pula memasukkan 3 pemain utama secara berperingkat dan mula menunjukkan keazaman untuk menyaingi Selangor. Namun hanya dua minit berlalu sebelum mereka dikejutkan dengan gol hasil tandukan cantik Bambang Pamungkas yang melompat tinggi mengatasi pertahanan Pahang hasil hantaran cantik Elie Aiboy.

 

Selesa dengan 3-0, Selangor menunjukkan aksi longlai seketika sehingga membolehkan Jalaludin Jaafar merapatkan kedudukan pada minit ke 55 setelah K Sanbagamaran gagal mengawal rapi beliau di sebelah kiri gawang Selangor.

 

Permainan berada dalam keadaan seimbang ketika ini di mana kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menambah jaringan namun tiada penyudah berkesan. Kekecewaan Pahang dengan kedudukan semasa memaksa beberapa aksi kurang enak dipertontonkan dan salah satu daripadanya ketika Indra Putra menyiku Bambang pada satu ketika namun hanya diberikan kad kuning oleh pengadil.

 

Sementara di pihak tuan rumah, aksi Khalid Jamlus yang kerap kehilangan bola menyebabkan sedikit kemarahan pada peminat Merah Kuning yang menyambut lega pertukaran terakhir Dollah Salleh yang menggantikan Khalid dengan Haris Safwan.

 

Lima minit sebelum perlawanan berakhir, Brian Fuentes meneruskan rekod cemerlang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan musim ini apabila menanduk rendah satu lagi hantaran Elie Aiboy yang sama sekali menewaskan penjaga gol Pahang, Azmin Azram Aziz. Gol ini meletakkan pasukannya dalam keadaan selesa bagi perlawanan kedua 18 Mei depan di Kuantan.

 

SELANGOR:

22- Shahrizan Ismail, 2- Tharmini Saiban, 5- Nazrul Erwan, 6- Saifu Nizam, 19- D. Surendran (17- Amri Yahyah), 8- Elie Aiboy , 12- K.Sanbagamaran, 25- Shukor Adan (K) (7- Nazzab Hidzan), 10- Brian Fuentes, 23- Khalid Jamlus (9- Haris Safwan), 20- Bambang Pamungkas.