Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.02.05

Selangor 6 Kelantan TNB 1 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Selangor meneruskan langkah bergaya dalam aksi Liga Perdana Kumpulan A apabila mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi sulung di gelanggang sendiri musim ini dengan membelasah TNB Kelantan 6-1.

 

Empat gol pada separuh masa pertama menceritakan betapa pasukan Selangor mendominasi perlawanan sejak wisel permulaan ditiup. Selangor menurunkan kesebelasan hampir serupa ketika membenam Melaka minggu lalu dengan hanya perubahan kecil berlaku di mana Tharmini Saiban menggantikan Aiman Firdaus yang cedera di posisi pertahanan kanan dan tempat beliau ditampung oleh Nazrul Erwan sementara Khalid Jamlus diletakkan di barisan serangan menggantikan Haris Safwan.

 

Tanpa menunggu lama, pada minit ke-7, Brian Fuentes memulakan pesta gol tuan rumah apabila menanduk cantik bola hantaran dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy. Lintangan bola yang cukup menarik dari Ellie bijak disambar oleh Fuentes yang melayangkan badannya untuk menanduk masuk bola tersebut menewaskan penjaga gol TNB Kelantan, Sany Fahmi yang beraksi untuk Selangor musim lepas.

 

Selain Sany Fahmi, dua lagi bekas pemain Selangor musim lepas iaitu Nor Suhaimi Bahaudin dan Azrul Amri Burhan turut berada dalam kesebelasan TNB Kelantan pada malam ini.

 

Pada minit ke-25 pula, dalam satu serangan yang dilakukan Selangor, Fuentes sekali lagi bijak memerangkap lawan dengan kawalan bola yang menarik dan disusuli rembatan lambung yang kencang dan terus menggegarkan jarring buat kali kedua pada malam ini. Sany Fahmi menyangka Fuentes akan melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti, sebaliknya Fuentes mencuba terus dan gagal digapai oleh Sany Fahmi untuk gol kedua Selangor.

 

Belum sempat barisan pertahanan TNB Kelantan menarik nafas lega, gawang mereka bolos lagi. Kali ini hasil rembatan deras Bambang Pamungkas dari luar kotak penalti. Gol pada minit ke- 28 itu berpunca apabila Bambang yang mengawal bola di luar kawasan penalti melihat ruang terbuka luas untuk beliau meledakkan bola. Percubaan Bambang itu berhasil apabila rembatannya itu gagal sama sekali diselamatkan oleh Sany Fahmi.

 

10 minit sebelum babak pertama tamat, giliran Khalid Jamlus pula untuk mencatatkan namanya selaku penjaring gol. Khalid yang menerima hantaran tepat di luar kotak penalti berjaya melepas kawalan pertahanan TNB Kelantan sesudah pemain tersebut terjatuh dan membenarkan Khalid berhadapan satu lawan satu dengan Sany Fahmi. Khalid menggunakan sepenuh pengalamannya dan tenang melakukan penyudahan untuk memberi kedudukan selesa 4-0 sebelum mereka melangkah ke bilik persalinan.

 

Babak kedua perlawanan menyaksikan TNB Kelantan membuat pertukaran dengan mengeluarkan Sany Fahmi dan memasukkan Shahrudin Ismail yang merupakan adik kepada penjaga gol Selangor, Shahrizan Ismail.

 

Namun, ia masih gagal membendung nafsu penyerang Selangor untuk mencari gol. Hasilnya, Selangor memperolehi gol kelima menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil setelah Khalid Jamlus ditolak oleh pertahanan TNB Kelantan. Fuentes dengan tenang mengambil sepakan penalti tersebut dan sekaligus mencipta hatrik kedua beliau untuk musim ini.

 

Selepas gol kelima tersebut, Selangor mula memperlahankan rentak serangan dan bersiap sedia untuk melakukan dua pertukaran serentak. Namun, TNB Kelantan berjaya mencuri satu gol menerusi sepakan percuma yang cukup cantik hasil sepakan Armi Sharif pada minit ke-61. Sejurus selepas jaringan tersebut, Selangor terus melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Amri Yahyah dan Nazzab Hidzan bagi menggantikan Khalid Jamlus dan Sanbagamaran.

 

Pertukaran tersebut gagal menambah jaringan Selangor dan memaksa Dollah Salleh membuat pertukaran terakhir pada malam ini dengan memasukkan Haris Safwan bagi menggantikan P.Gunalan. Tindakan Dollah itu berhasil apabila Haris berjaya menjaringkan gol keenam Selangor pada minit ke-85 menerusi lambungan menarik yang berjaya menewaskan penjaga gol gantian TNB Kelantan untuk memastikan Selangor menang bergaya 6-1.

 

SELANGOR:

22- Shahrizan Ismail, 2- Tharmini Saiban, 5- Nazrul Erwan, 6- Saifu Nizam, 15- P.Gunalan (9- Haris Safwan), 8- Elie Aiboy, 12- K.Sanbagamaran (7- Nazzab Hidzan), 25- Shukor Adan (K), 10- Brian Fuentes, 23- Khalid Jamlus(17- Amri Yahyah), 20- Bambang Pamungkas.