Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.02.05

Serangan tumpul resahkan skuad Merah Kuning

Oleh: Berita Harian

Aksi Fuentes menentang Melaka (NSTP)

Kemenangan besar 4-1 ke atas Melaka adalah permulaan baik untuk Selangor dalam saingan bola sepak Liga Perdana tetapi pengurusan Merah Kuning menyifatkan beberapa kelemahan masih perlu diperbaiki terutama jentera serangan dan pertahanan.

 

Sambil menyifatkan Merah Kuning seharusnya mampu mencatat kemenangan lebih besar, pengurus pasukan Datuk Satim Diman menjelaskan kelemahan itu harus segera diatasi oleh pasukannya untuk memastikan Selangor terus berupaya mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

 

“Kemenangan ini satu permulaan yang baik untuk Selangor tetapi saya perhatikan masih ada beberapa kelonggaran dalam aksi pemain terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

 

“Saya lihat barisan penyerang cukup cemerlang pada awal permainan hingga berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 18 minit. Namun mereka mula hilang tumpuan selepas itu hinggakan hanya satu gol berjaya dijaringkan daripada pelbagai peluang yang terhidang.

 

“Pertahan pula saya lihat tidak begitu berkesan menangkis asakan lawan. Perkara ini harus diperbaiki menjelang perlawanan akan datang untuk memastikan Selangor terus mencatat kemenangan dalam saingan musim ini.

 

“Pengurusan bukan mahu campur tangan dalam urusan penyediaan skuad tetapi jika ada pandangan yang dirasakan perlu, kita akan beritahu kepada jurulatih,” katanya sambil menjelaskan pengurusan berpuas hati dengan cara jurulatih Dollah Salleh mengendalikan skuad setakat ini.

 

Selangor mencatat kemenangan itu menerusi hatrik penyerang import dari Argentina Brian Fuentes, dan satu gol lagi disumbangkan bekas penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas, manakala gol tunggal Melaka dijaringkan menerusi sepakan penalti oleh bekas penyerang Sarawak Safri Amit.

 

Satim berkata, Selangor bukan saja mahu memastikan kemenangan tetapi juga mempersembahkan aksi permainan yang bermutu dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka mampu menarik kehadiran penyokong ke stadium.

 

“Perlawanan menentang TNB Kelantan Ahad ini penting buat kami kerana kali pertama beraksi di depan penyokong sendiri musim ini.

 

“Saya harap penyokong Selangor akan membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyaksikan sendiri kehebatan skuad ini dengan barisan bintang yang ada.

 

“Sokongan padu peminat akan menyemarakkan lagi semangat pemain untuk mencipta kejayaan buat Selangor,” katanya.