12.02.05
Tugas serampang dua mata Buddy
Oleh: Berita Harian

Buddy sewaktu latihan kelmarin (NSTP)
Dua misi - membantu Selangor mencatat kejuaraan dan muncul pemain pertahanan terbaik Liga Malaysia - menjadi misi utama pemain import terbaru Selangor Badawi Farrah yang berkeyakinan Merah Kuning mampu mengembalikan status mereka sebagai pasukan terbaik di negara ini.
Bekas pemain skuad Piala Dunia Remaja Australia itu yang akan memeterai kontrak bersama Selangor Isnin ini menegaskan dengan barisan pemain berkualiti serta disokong pengurusan mantap, dia menjangkakan Merah Kuning tiada masalah untuk memenuhi impian mereka musim ini.
Malah, tonggak pertahanan yang mempunyai ketinggian 184 sentimeter serta pernah beraksi bersama kelab utama Denmark, Copenhagen FC itu juga yakin mampu beraksi cemerlang bersama Selangor selepas menyaksikan aksi skuad itu ketika kunjungan ke Perth, Australia baru-baru ini.
“Saya banyak mendengar mengenai kehebatan Selangor sebelum ini terutama daripada beberapa rakan senegara seperti Mehmet Durakovic yang pernah beraksi bersama pasukan ini beberapa tahun lalu.
“Walaupun beraksi dalam Liga Perdana, bagi saya Selangor masih pasukan terbaik di Malaysia, cuma beberapa tahun kebelakangan ini pencapaian mereka agak di luar kemampuan.
“Dengan pengurusan yang baik serta barisan pemain yang berkualiti yang mereka miliki musim ini, saya yakin pasukan ini mampu mencatat kejayaan dan kembali menjadi pasukan terbaik di Malaysia,” katanya selepas menjalani sesi latihan pertama bersama skuad Merah Kuning di padang Yayasan FAS Kelana Jaya semalam.
Sesi latihan skuad Selangor semalam turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang membuat lawatan mengejut bagi meninjau komitmen pemain dan pengurusan skuad itu musim ini.
Badawi, 27, atau nama timangannya Buddy ialah pemain import ketiga ditandatangani Selangor musim ini selepas dua tonggak daripada Indonesia - Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
Skuad itu turut mengekalkan penjaring terbanyak mereka musim lalu penyerang dari Argentina Brian Fuentes selain turut membawa masuk pemain utama tempatan.
Kehadiran Buddy yang boleh beraksi di tiga posisi termasuk bek tengah bakal memantapkan benteng pertahanan Merah Kuning yang sebelum ini dianggap agak longgar berbanding posisi lain.
Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman, berkata kehadiran Buddy melengkapkan skuad idaman Selangor bagi memburu misi menjulang kejuaraan liga dan Piala Malaysia seperti yang ditetapkan oleh presiden FAS.
“Saya harap dengan barisan skuad yang hebat ini, Selangor bukan saja mampu menjulang kejuaraan tetapi juga menarik kehadiran ramai penyokong ke Stadium Shah Alam bermula perlawanan menentang TNB Kelantan Ahad ini.
“Kami juga menyediakan insentif khas kepada penyokong setia Selangor musim ini di mana lima hadiah berupa cabutan bertuah ditawarkan setiap kali beraksi di gelanggang sendiri.
“Hadiah lumayan turut ditawarkan di mana penonton yang menyaksikan enam kali Selangor beraksi di gelanggang sendiri layak menyertai cabutan Bonanza yang menawarkan tiga motosikal Modenas,” katanya.