Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.03.05

Brunei 2 Selangor 3 (Liga Perdana)

Oleh: pippo

Selangor meneruskan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana A setelah menewaskan Brunei 3-2 dalam perlawanan mendebarkan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam tadi. Brunei pastinya lebih kecewa kerana walaupun mempamerkan permainan terbaik mereka musim ini, ditambah pula dengan kehadiran pemain import baru dari Bosnia Ferid Idrizovic, masih gagal menjinakkan Selangor.

 

Permainan bermula dengan aksi pantas kedua-dua pasukan namun Selangor terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah dengan dua cubaan berbahaya Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes dalam tempoh 30 minit pertama. Walaupun begitu, peluang terbaik diperolehi tuan rumah apabila Ferid berjaya meloloskan diri dari kawalan benteng Selangor dan meledakkan sepakan deras melepasi Sharizan Ismail namun bola terkene tiang sebelah kiri dan bergerak melintasi pintu gol Selangor tanpa dapat disentuh oleh pemain kedua-dua pasukan.

 

Pada minit ke 40 Dollah membawa keluar Amri Yahyah yang kelihatan sedikit terhincut-hincut dan digantikan dengan Mohd Haris Safwan Kamal. Walaupun Selangor menurunkan Buddy Farah buat pertama kali dalam aksi kompetitif musim ini, namun serangan demi serangan pasukan Brunei seolah-olah mudah membolosi pertahanan. Separuh masa pertama berakhir dengan Brunei tampak lebih gagah berbanding pasukan pelawat.

 

Lima minit setelah separuh masa kedua bermula, stadium bergema apabila pasukan tuan rumah berjaya mendahului. Gol berpunca hasil hantaran through pass Oluseye Ajayi yang disambut oleh Fadlin Gelawat yang berlari melepasi pertahanan Selangor sebelum melepaskan sepakan menewaskan Shahrizan.

 

Gol tersebut menaikkan semangat Brunei yang terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Selangor namun berjaya ditidakkan oleh kecekapan Shahrizan yang bermain cemerlang pada malam ini.

 

Tanpa diduga, Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 67 apabila Haris Safwan bijak menanduk masuk satu hantarn lintang. Gol penyamaan ini jelas mengecewakan pemain tuan rumah yang banyak menguasai perlawanan namun mensesiakan peluang yang diperolehi.

 

Gol kedua Selangor diperolehi pada minit ke 79 apabila Nazzab Hidzan yang mengambil alih tugas Shukor Adan mengemudi bahagian midfield berjaya meletakkan namanya di senarai penjaring. Dua minit kemudian malang lagi menimpa Brunei apabila giliran Bambang menambah gol untuk pasukan pelawat sekaligus mematikan semangat pemain Brunei untuk terus melawan.

 

Namun pada minit-minit terakhir perlawanan, Brunei merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Ferid Idrizovic setelah Nazrul Erwan menahan bola sepakan Julremi di atas garisan gol mengakibatkan beliau dibuang padang. Keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil beberapa ketika selepas itu membuatkan Selangor pulang gembira di atas kejayaan sukar yang diperolehi.

 

22-SHAHRIZAN ISMAIL, 2-AHMAD THARMINI SAIBAN, 5-NAZRULERWAN MAKMOR, 4-BUDDY FARAH, 13-MOHD FADHIL HASHIM (16-NORHISHAM KAMARUDDIN), 7-NAZZAB HIDZAN, 3-MOHD RAZMAN ROSLAN, 17-AMRI YAHYAH (9-HARIS SAFWAN KAMAL), 10-BRIAN FUENTES, 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS