16.03.05
Buddy yakin baiki mutu persembahan
Oleh: Berita Harian
Pemain import Selangor, Buddy Farrah yakin berupaya meningkatkan lagi persembahannya dan memikul peranan lebih besar di benteng pertahanan pasukan itu selepas merasai aksi pertama ketika menentang Brunei Ahad lalu.
Perlawanan Liga Perdana itu menyaksikan Merah Kuning mencipta kemenangan 3-2 tetapi Buddy menyifatkan aksinya masih belum pada tahap 100 peratus selepas lama tidak beraksi secara kompetitif.
“Saya gembira apabila diberikan peluang beraksi di Brunei Ahad lalu tetapi masih kurang puas hati dengan prestasi diri. Walaupun sentiasa mengekalkan tahap kecergasan, saya dapat rasakan prestasi pada perlawanan itu belum begitu sempurna dan banyak yang boleh ditingkatkan.
“Mungkin sebab ia perlawanan pertama saya selepas agak lama tidak merasai perlawanan kompetitif. Saya kini lebih bersedia dan yakin dapat memberi sumbangan lebih baik selepas ini,” kata pertahanan import dari Australia itu semalam.
Buddy atau nama sebenar Badawi kali pertama di turunkan selepas sekadar menjadi pemerhati dalam tujuh perlawanan Merah Kuning sebelum ini termasuk Piala FA menentang Pahang kerana jurulatih Dollah Salleh tidak mahu mengganggu rentak pasukan yang mencipta kemenangan besar berturut-turut.
Dollah terpaksa meminggirkan Buddy kerana peraturan Liga Malaysia hanya membenar tiga pemain import diturunkan pada satu-satu perlawanan dan Merah Kuning cenderung mengekalkan kombinasi dua import dari Indonesia – Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy – serta Brian Fuentes dari Argentina yang mempamerkan aksi cemerlang sejak awal musim.
Namun, berdasarkan perkembangan yang melanda skuad itu sekarang, khidmat Buddy hampir pasti ditagih untuk perlawanan penutup tirai pusingan pertama Liga Perdana menentang MK Land Ahad ini.
Selangor yang mendahului Kumpulan A kini dilanda masalah kecederaan dan penggantungan pemain tonggak untuk berdepan pencabar mereka yang hanya dipisahkan dua mata.
Kapten pasukan, Shukor Adan, K Sanbagamaran, D Surendran termasuk Elie yang tidak diturunkan di Brunei semuanya masih cedera tetapi kecederaan lutut tonggak tengah dari Indonesia itu paling serius dan 50-50 untuk berpeluang sembuh dalam tempoh terdekat.
Ditambah hukuman penggantungan bek tengah Nazrulerwan Makmor akibat dilayangkan kad merah yang menyaksikan Brunei dihadiahkan sepakan penalti untuk merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan Ahad lalu, khidmat Buddy hampir pasti terus ditagih.
“Saya sedar Selangor begitu memerlukan khidmat saya ketika ini dan akan memberi yang lebih baik lagi selepas ini. Apatah lagi, ia aksi sulung saya di depan penyokong Merah Kuning,” kata Buddy.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Mohd Amin berkata tiket perlawanan yang dijangka sengit antara dua pasukan teratas itu akan mula dijual di Stadium Shah Alam bermula jam 10.00 pagi hari perlawanan.
Menurutnya tiket dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak separuh harga.