Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.03.05

Giliran Kedah uji Selangor

Oleh: Berita Harian

Pertemuan dua pasukan elit bola sepak Liga Perdana, Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, Ahad ini bukan saja menemukan dua barisan yang masih belum mencatat kekalahan dalam Kumpulan A tetapi juga menjanjikan pertemuan sengit dua jentera serangan.

 

Skuad Merah Kuning yang dilatih Dollah Salleh nyata tampak mempunyai sedikit kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri sedangkan rekod permainan di luar Stadium Darulaman oleh Kedah tidak cukup meyakinkan, sekali gus menjadi medan ujian paling getir buat skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah.

 

Selangor, sama ada berdepan pasukan berstatus negeri mahupun kelab, tampak menyinar setiap kali turun sama ada di gelanggang sendiri mahupun lawan dan ini dibuktikan dengan deretan kemenangan besar - 4-1 ke atas Melaka; 6-1 (TNB Kelantan); 4-1 (Kuala Lumpur) dan 4-1 ke atas NTFA Pulau Pinang.

 

Jika itu tidak cukup menggerunkan, Selangor juga mampu mendabik dada kerana mudah menundukkan juara Liga Super 2004 Pahang 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam - lantas memberikan Gergasi Merah Kuning rekod bersih dalam semua perlawanan setakat ini.

 

Paling istimewa adalah jentera serangan yang tidak pernah mengecewakan setakat ini dengan gandingan Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes mengumpul 15 daripada 18 gol yang dijaringkan sambil keseluruhan pemain cukup serasi dengan format 4-4-3.

 

Larian bak lipas kudung pemain kebangsaan Indonesia, Elie Aiboy dari sebelah kanan padang serta kepantasan jentera tengah yang ditunjangi K Sanbagamaran dan ketua pasukan Shukor Adan untuk mencari ruang dan umpanan tepat, boleh disifatkan intipati kejayaan Selangor setakat ini biarpun Dollah juga harus memperbetulkan kerapuhan benteng pertahanannya.

 

“Buat masa ini, Shukor hampir pasti tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan hamstring manakala Sanbagamaran pula 50-50 kerana bengkak di pinggangnya. Tetapi kami masih mempunyai pemain gantian untuk mengisi kekosongan itu.

 

“Bagi saya Kedah harus dihormati kerana rekod dan reputasinya tetapi pendekatan saya musim ini ialah setiap pasukan adalah sama dan saya memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dengan sentiasa menurunkan barisan terbaik, tidak kira ia pasukan negeri atau kelab.

 

“Oleh itu, saya yakin Selangor mampu mencatat keputusan positif daripada perlawanan Ahad ini,” katanya semalam.

 

Biarpun skuad Kenari kurang menyinar setakat ini, kemampuan anak buah Azraai memastikan kemenangan - kecuali pertemuan pertama dengan pasukan tangga kedua MK Land dan Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhir - memberi gambaran Kedah mempunyai elemen untuk mencari kemenangan, sama ada di tempat sendiri mahupun di luar.

 

Dan Mohd Azraai berterus terang dia tidak pernah melihat corak permainan Merah Kuning dan hanya mendapat maklumat menerusi tayangan di televisyen dan akhbar.

 

“Tetapi saya tetap menghormati mereka sebagai pendahulu Kumpulan A dan kagum dengan penyerang mereka musim ini. Memang menarik setiap kali bertemu Selangor kerana kami akan dapat mengukur kekuatan sendiri tetapi itu tidak bermakna Kedah akan bersikap mengalah kerana kami juga mempunyai kelebihan sendiri,” katanya.

 

Mohd Azraai mengakui, jika dua penyerang Akmal Rizal Rakhli dan Liew Kit Kong serta penyerang import Samuel Sheldon mahu menyaingi jentera lawan, rakan sepasukan harus terlebih dulu menguasai saingan di tengah sambil cuba mengehadkan pergerakan Elie dan Sanbagamaran.

 

“Apa yang melegakan saya ialah Akmal sudah mula mendapat sentuhannya selepas menjalani pembedahan tahun lalu dan semakin serasi dengan Kit Kong manakala pemain tengah Hasmawi Hassan dan pertahanan Fauzi Nan juga mampu menjaringkan gol. Jadi kami tidak bergantung kepada dua atau tiga pemain saja untuk menjadi pemusnah,” katanya.