Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.03.05

Merah Kuning belum sempurna

Oleh: Berita Harian

Persembahan kurang mantap Selangor ketika seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Shah Alam malam kelmarin, menyedarkan jurulatih Dollah Salleh bahawa barisan Merah Kuning yang dilatihnya masih belum mencapai kesempurnaan biarpun mengekalkan rekod tanpa kalah.

 

Berbeza pula dengan pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, dia pasti berbangga dengan prestasi semakin baik yang ditunjukkan skuad Kedah sejak kebelakangan ini walaupun jauh di sudut hati, mereka sepatutnya mampu keluar sebagai pemenang dalam pertemuan hebat itu.

 

Ada banyak aspek yang membuatkan wajah Dollah kurang ceria dan penuh tanda tanya sebaik tamat perlawanan, lebih-lebih lagi corak permainan yang berlainan sama sekali dengan yang biasa dipamerkan anak buahnya ketika mencatat kemenangan besar terhadap lawan sebelum ini.

 

Dollah mengakui anak buahnya tidak mempamer tahap permainan biasa manakala barisan tengahnya kurang berfungsi untuk membantu barisan penyerang berbisanya - Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

 

Hanya sekilas gol tandukan Khalid pada minit ke-24 memercikkan aksi hebat Selangor tetapi selepas itu, barisan Mohd Azraai Khor Abdullah bangkit sebelum akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Akmal Rizal Rakhli pada penghujung babak pertama.

 

Tidak keterlaluan jika dikatakan Kedah kurang bernasib baik untuk pulang dengan tiga mata malam kelmarin kerana babak kedua menyaksikan penguasaan penuh skuad Hijau Kuning dengan beberapa cubaan berbahaya yang seharusnya berakhir dengan jaringan jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Selangor, Mohd Shahrizan Ismail.

 

“Semua pemain bermain di bawah tahap sebenar mereka. Saya tidak tahu puncanya tetapi mereka tidak bermain sebagaimana yang saya harapkan. Saya benar-benar tidak berpuas hati kerana seolah-olah mereka bermain dalam keadaan tertekan sedangkan kami bermain di gelanggang sendiri.

 

“Saya tidak tahu punca kemerosotan mendadak ini tetapi saya berharap mendapat jawapannya apabila bertandang ke Brunei selepas ini,” kata Dollah.

 

Jika Mohd Azraai cukup berwaspada dalam menyusun kata-katanya sebelum pertemuan dua pasukan elit itu, dia lebih banyak tersenyum dan menghela nafas lega selepas melihat komitmen tinggi setiap pemainnya ketika berdepan skuad Merah Kuning.

 

Begitupun, hakikatnya Kedah jatuh satu anak tangga ke tangga keempat Kumpulan A apabila dipintas Kuala Lumpur yang mencatat kemenangan ke atas Brunei 2-1 dalam satu perlawanan lain.

 

Mohd Azraai tidak menafikan Kedah sepatutnya mampu keluar sebagai pemenang dalam perlawanan itu, jika tidak kerana kegopohan barisan depan serta kecekapan penjaga gol lawan terutama di babak kedua.

 

“Saya yakin ini bukan persembahan terbaik kami tetapi keputusan ini adalah satu kemenangan besar terhadap moral pasukan. Saya yakin pemain akan lebih bersemangat dan bangkit memperbaiki kedudukan kami dalam liga selepas ini,” katanya.