Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.03.05

Merah Kuning masih belum panik

Oleh: Berita Harian

Kekalahan kepada MK Land yang meleburkan rekod tanpa kalah dan penguasaan selaku pendahulu Kumpulan A saingan bola sepak Liga Perdana belum mampu mencemaskan Selangor yang berazam bangkit mendominasi semula saingan pada pusingan kedua.

 

Skuad Merah Kuning kecundang 3-2 kepada MK Land pada perlawanan terakhir pusingan pertama kelmarin yang menyaksikan pasukan itu yang mendominasi saingan dengan kemenangan besar empat gol ke atas dalam beberapa perlawanan awal ketinggalan satu mata di belakang pencabarnya itu yang mengumpul 17 mata.

 

Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman berkata, Selangor kini kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan dan penggantungan yang menyaksikan pasukan itu gagal mempamerkan kehebatan sebenar.

 

Katanya, ketiadaan pemain import dari Indonesia Elie Aiboy dan kapten Shukor Adan yang masih cedera menjejaskan kemantapan jentera tengah pasukan itu ditambah faktor tonggak pertahanan Nazrulerwan Makmor masih menjalani penggantungan akibat dilayangkan kad merah ketika menentang Brunei, minggu lalu.

 

“Semua itu antara penyumbang kekalahan Selangor tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan. Bagi saya, kami terima kekalahan ini sebagai pengajaran.

 

“Hakikatnya, Selangor belum cemas dan akan bangkit memperbaiki keadaan pada pusingan kedua nanti,” katanya.

 

Selangor mula mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah pada 6 Mac sebelum menang tipis 3-2 ke atas Brunei dan kekalahan kepada MK Land kelmarin menyaksikan kekalahan pertama mereka sejak liga bermula 6 Februari lalu.

 

Dalam aksi di Stadium Shah Alam kelmarin, penyerang import MK Land, Marlon Alex James cemerlang dengan menyumbat dua gol pada minit ke-46 dan 53 sebelum Ooi Hoe Guan memastikan kemenangan pasukan itu hasil jaringan pada minit ke-70.

 

Selangor lebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi penyerang berbisanya, Brian Fuentes yang mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gawang MK Land, S Shankar dan menyumbang gol kedua Merah Kuning menerusi sepakan penalti pada minit ke-75.

 

Hakikat kepincangan Selangor itu turut diakui jurulatih, Dollah Salleh yang tidak berselindung mengatakan barisan pertahanan masih belum memuaskan selain faktor kemenangan besar sebelum ini bukan ukuran Merah Kuning tidak boleh tewas.

 

“Saya sering ingatkan kepada pemain bahawa kami belum lengkap sebagai satu pasukan. Kekalahan kepada MK Land sebagai bukti kata-kata saya itu benar.

 

“Barisan pertahanan masih belum mantap yang tampak sedikit goyah dan mudah dilepasi lawan. Oleh itu, saya anggap kekalahan kepada MK Land sebagai satu pengajaran berguna kepada pemain.

 

“Bukan semestinya dengan kemenangan besar dalam banyak perlawanan sebelum ini, menandakan tiada pasukan berupaya mencabar kami. Lawan akan sentiasa mencari peluang menghukum kami kerana mereka mengetahui kelemahan kami setakat ini ialah di barisan pertahanan,” katanya.

 

Selangor akan memulakan kempen pusingan kedua menentang Melaka di Stadium Shah Alam, Ahad ini.