04.03.05
Pemain turun padang temui peminat
Oleh: Berita Harian

Shukor dan Khalid di Gombak Setia (Berita Harian)
Sejajar usaha menarik lebih sokongan Selangor melaksanakan pendekatan baru dengan mendekati peminat mereka di seluruh negeri sambil mengadakan majlis ramah mesra bersama pemain.
Menerusi pendekatan itu, pengurusan Merah Kuning akan membawa skuad menjelajah ke seluruh daerah dan kawasan Parlimen negeri itu bagi memperkenalkan barisan pemain sambil mengadakan aktiviti yang boleh memupuk minat dan kecintaan terhadap pasukan itu.
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman berkata, usaha mendekati peminat bukan saja dilihat sebagai langkah berkesan untuk menarik kehadiran penonton menyaksikan perlawanan skuad Merah Kuning tetapi yang lebih penting ialah tanda penghargaan terhadap sokongan mereka kepada skuad itu.
“Biarpun sibuk dengan jadual latihan dan perlawanan yang ketat, kami akan berusaha untuk menemui peminat di seluruh negeri.
“Ini cetusan idea Menteri Besar sendiri yang mahukan pemain dan pegawai skuad Selangor musim ini turun padang untuk menjenguk dan beramah mesra dengan peminat dari seluruh negeri.
“Langkah ini bukan saja menunjukkan penghargaan kami kepada mereka atas sokongan yang diberikan tetapi juga diharap mampu menarik lebih ramai ke stadium memberi sokongan setiap kali Selangor beraksi,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan skuad Selangor ke Sekolah Kebangsaan Gombak Setia (SKGS), semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Yuzahari Mohd Yusof, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS); Hamidin Abdul Hamid dan pemain skuad Merah Kuning.
Sempena kunjungan itu pengurusan skuad Selangor juga menghadiahkan 500 tiket percuma kepada pelajar sekolah berkenaan untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana antara Selangor menentang Kedah di Stadium Shah Alam Ahad ini.
Selangor kini menampilkan prestasi yang cemerlang dalam saingan Liga Perdana dengan menduduki tangga teratas Kumpulan A, mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan.
Satim berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang juga presiden FAS sebelum ini mengarahkan skuad itu supaya berusaha mengembalikan semula kegemilangan mereka dan mendekati peminat.
Katanya, kunjungan ke sekolah terbabit ialah kali pertama sesi seumpamanya diadakan musim ini dan selepas ini pelbagai program lagi akan dirancang untuk peminat Merah Kuning.
“Kami mahu beri peluang peminat menatap dengan lebih dekat lagi pemain pujaan mereka dalam skuad Selangor termasuk bintang import handalan.
“Pada sesi kunjungan seperti ini kami akan beri peluang kepada mereka beramah mesra dan bertanya mengenai apa saja kepada pemain supaya wujud perasaan gembira di kalangan peminat di samping boleh memupuk minat terhadap bola sepak,” katanya.