28.03.05
Penonton bertindak liar di Shah Alam
Oleh: Berita Harian
Selangor yang sentiasa gah dan berbangga dengan kumpulan penyokong fanatiknya setiap kali beraksi di Stadium Shah Alam, menyaksikan wajah hitam sebenar di sebalik warna Merah Kuning kemegahan mereka apabila ada di antaranya bertindak liar membakar sebahagian bangku penonton apabila perlawanan Kumpulan A dengan Melaka ditangguhkan, malam tadi.
Semuanya gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil Rosdi Shahrul yang pada awalnya mahu menangguhkan permainan sejam sebelum menukar fikiran kepada jam 8.30 pagi ini. Waktu baru itu mencetuskan kemarahan penonton yang mula bertindak liar sebelum Rosdi menetapkan jam 8.45 malam.
Pertemuan Selangor dan Melaka yang sepatutnya bermula jam 8.45 malam, terpaksa ditangguhkan selepas hujan lebat yang turun sejak jam 3 petang menyebabkan keadaan padang bertakung dan mustahil bagi permainan diteruskan.
Penyokong yang pada awalnya turun membantu menyimbah air keluar bagi memastikan perlawanan dapat dijalankan, bagaimanapun mula bertindak liar dengan membakar bangku di beberapa bahagian stadium manakala segelintirnya membaling bangku dan tong sampah sehingga memaksa campur tangan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawal keadaan.
Yang pasti, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dijangka terpaksa mengadap Lembaga Tata Tertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berdepan kemungkinan didenda.
Ketika Selangor terpaksa menangguhkan hajatnya mengutip tiga mata penuh di kandang sendiri,