Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.03.05

Selangor 1 Kedah 1 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Selangor gagal mengekalkan rekod 100% kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah dalam pertemuan mendebarkan di Stadium Shah Alam malam tadi. Namun, Selangor masih kekal mendahului Liga Perdana Kumpulan A setelah pencabar terdekat, MK Land hanya mampu seri 1-1 dengan TNB Kelantan.

 

Hampir 50,000 penonton membanjiri Stadium Shah Alam dan ini merupakan angka terbesar musim ini. Namun, ia gagal untuk menggentarkan barisan Hijau Kuning yang dilihat lebih banyak menguasai perlawanan sejak wisel mula ditiup oleh pengadil.

 

Serangan demi serangan dilancarkan oleh Kedah dan gawang Selangor hampir bolos apabila bola singgah di atas palang gol Selangor dan disusuli rembatan Akmal yang berjaya ditepis keluar oleh Shahrizan beberapa minit selepas itu. Kedah dilihat mempamerkan aksi pantas dan berjaya menguasai bahagian tengah sementara jentera tengah Selangor dilihat agak tenggelam disebabkan ketiadaan ketua pasukan, Shukor Adan yang masih cedera.

 

Namun, dalam asyik Kedah menyerang, Selangor memperoleh satu sepakan penjuru yang diambil oleh Elie Aiboy dan disambut dengan satu tandukan cantik oleh penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus dan bola terus menerjah gawang gol Kedah untuk mengubah kedudukan 1-0 berpihak kepada Selangor.

 

Gol semangat itu mengembalikan rentak serangan Selangor selepas itu tetapi beberapa serangan yang dilancarkan gagal memecah kekebalan benteng pertahanan Kedah. Sedang Dollah Salleh berkira-kira untuk membawa bekal 1-0 ke dalam bilik persalinan, serangan Kedah pada minit ke-44 telah memaksa Saifu Nizam menjatuhkan salah seorang pemain Kedah di dalam kotak penalti dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kedah.Ketua pasukan Kedah, Akmal Rizal mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45 dan gol tersebut merupakan hadiah sempena kelahiran cahaya mata sulung beliau, Aleya Sofea Riss kelmarin.

 

Babak kedua dimulakan dengan Selangor mengeluarkan Saifu Nizam dan memasukkan Razman Roslan. Tharmini Saiban menggantikan posisi pertahanan tengah yang dikosongkan Saifu Nizam sementara Razman mengambil alih tugas Tharmini di bahagian pertahanan kanan. Kemasukan Razman berjaya mengukuhkan barisan pertahanan Selangor dan Akmal Rizal dilihat kurang mendapat bola setelah dikawal ketat pada babak kedua ini.

 

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun barisan pertahanan Kedah dan Selangor bijak mematahkan serangan demi serangan. Selangor mula mendapat rentak dengan menguasai barisan tengah, namun sering dikecewakan oleh penyudah yang tumpul Khalid Jamlus manakala Bambang Pamungkas pula kurang mendapat bola kerana dikawal ketat oleh pertahanan Kedah.

 

Menjelang baki 20 minit permainan, Selangor memasukkan Haris Safwan untuk menggantikan Brian Fuentes di sebelah sayap kiri. Percaturan tersebut masih gagal menembusi kekebalan barisan pertahanan lawan. Kedah juga turut memperoleh beberapa peluang di separuh masa kedua ini tetapi mudah dipatahkan pertahanan tengah Selangor, Nazrul Erwan dan juga penjaga gol Selangor, Shahrizan Ismail.

 

3 minit masa kecederaan diberi dan Selangor dilihat bertubi-tubi melakukan serangan, namun masih gagal memburu gol kemenangan dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

 

SELANGOR:

22-SHAHRIZAN ISMAIL, 2-THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 6-SAIFU NIZAM (3-RAZMAN ROSLAN), 19-D.SURENDRAN, 8-ELIE AIBOY, 12-K.SANBAGAMARAN (Ketua Pasukan), 17-AMRI YAHYAH, 10-BRIAN FUENTES (9-HARIS SAFWAN), 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS.