09.03.05
Selangor 3 Malaysia Bawah 19 0 (Persahabatan)
Oleh: misai117
Petang tadi berlangsung satu perlawanan persahabatan di antara pasukan Liga Perdana Selangor menentang pasukan Malaysia Bawah 19 Tahun di padang Wisma FAM, Kelana Jaya.
Kesudahannya, Selangor berjaya menewaskan skuad kendalian K. Rajagopal itu dengan jaringan 3-0 setelah mendahului 2-0 pada babak pertama. Aksi dimulakan tepat 5.00 petang dengan Selangor dibarisi sebahagian besar pemain simpanan.
Jamsari Sabian di pintu gol, Buddy Farah dan Saifu Nizam di pertahanan tengah sementara Razman Roslan dan Norhisham Kamarudin masing-masing di pertahanan kanan dan kiri.Di posisi tengah pula, Amri Yahyah dan Nazzab Hidzan sebagai midfield sementara S. Sivaram di posisi sayap kanan dan Fadhil Hashim di posisi sayap kiri.Haris Safwan dan Brian Fuentes bertindak sebagai penyerang.
Empat pemain iaitu Khalid Jamlus, Nazrul Erwan, D. Surendran dan Tharmini Saiban dikecualikan kerana mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan. Fairuz Montana, Shukor Adan, Aiman Firdaus, P. Gunalan, Azlisham Ibrahim dan Elie Aiboy pula masih cedera. Hanya Bambang Pamungkas, Shahrizan Ismail dan K.Sanbagamaran diletakkan di bangku pemain simpanan.
Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila Amri Yahyah yang melihat ruang terbuka, melepaskan satu rembatan deras dari tengah luar kotak penalti dan terus menerjah gawang gol untuk gol pembukaan Selangor.
Pada minit ke-35 pula, gol kedua Selangor menyusul menerusi hantaran lintang dari sebelah kanan oleh S.Sivaram yang bijak ditanduk masuk oleh Fadhil Hashim.
Aksi babak pertama lebih banyak dikuasai oleh pemain Selangor dan benteng pertahanan yang diterajui Buddy Farah mudah mematahkan serangan para pemain remaja kebangsaan dan kedudukan 2-0 kekal sehingga waktu rehat.
Bermula babak kedua, Selangor mengeluarkan Brian Funtes dan Amri Yahyah bagi memasukkan Bambang Pamungkas dan K. Sanbagamaran.
Babak kedua menyaksikan barisan kendalian K. Rajagopal sudah mula menampakkan permainan yang menarik dan beberapa kali mencemaskan gawang gol Selangor, namun gagal membolosi gawang Jamsari Sabian.
Barisan serangan Selangor pula dilihat gagal melakukan gerakan yang berbahaya sehinggalah pada penghujung babak permainan. Hasil lambungan S.Sivaram, Bambang Pamungkas menggunakan kelebihan lompatannya untuk menanduk masuk gol ketiga Selangor pada minit ke-90.
Perlawanan ini sebagai percubaan untuk para pemain simpanan Selangor beraksi dalam kesebelasan utama sementara bagi skuad Malaysia Bawah 19 Tahun pula,ini merupakan pendedahan yang baik untuk mereka beraksi menentang lawan yang lebih senior dari mereka.
SELANGOR:
1-Jamsari Sabian, 3-Razman Roslan, 4-Buddy Farah, 6-Saifu Nizam,16-Norhisham Kamarudin, 14-S.Sivaram, 7-Nazzab Hidzan, 17-Amri Yahyah (12-K.Sanbagamaran ), 13-Fadhil Hashim, 9-Haris Safwan, 10-Brian Fuentes (20-Bambang Pamungkas )