29.03.05
Selangor 3 Melaka 0 (Liga Perdana)
Oleh: misai117
Penantian puluhan ribu penyokong Merah Kuning akibat penangguhan perlawanan Liga Perdana menentang Melaka yang sepatutnya berlangsung Ahad berhasil apabila pasukan Selangor mudah menjinakkan Melaka dengan jaringan 3-0 di Stadium Shah Alam.
Perlawanan yang ditangguhkan akibat hujan lebat dan padang bertakung pada hari Ahad, sekali lagi terpaksa ditangguh 15 minit untuk membolehkan petugas stadium mengepam air yang bertakung di tengah padang. Tepat jam 9.00 malam, perlawanan dimulakan oleh pengadil perlawanan.
Selangor menurunkan Shahrizan Ismail di gawang, Ahmad Tharmini Saiban dan Saifu Nizam Husin sebagai pertahanan tengah, Razman Roslan dan D.Surendran masing-masing di posisi pertahanan kanan dan kiri. Ketua pasukan, Shukor Adan dan K.Sanbagamaran bergandingan di bahagian tengah sementara Elie Aiboy dan Brian Fuentes di bahagian sayap kanan dan kiri. Khalid Jamlus dan Bambang Pamungkas ditugaskan sebagai penggempur utama.
Perlawanan dimulakan dengan keadaan padang yang masih berair dan ini menyebabkan bola sering sahaja tersangkut. Namun, pemain kedua-dua pasukan bijak menghadapi keadaan sedemikian dan mampu menghidupkan rentak perlawanan.
Aksi separuh masa pertama dikuasai sepenuhnya oleh pasukan Selangor dan pasukan Melaka hanya memperolehi satu peluang terbaik, namun sedikit tersasar dari pintu gol tuan rumah.
Bagaimanapun, Selangor hanya memerlukan 20 minit untuk membuka tirai jaringan. Gol berpunca daripada gerakan dari sebelah kiri oleh D. Surendran yang kemudiannya menyilangkan bola ke sebelah kanan padang mencari Khalid Jamlus. Khalid menanduk sedikit bola kepada Bambang Pamungkas yang berada di hadapan pintu gol Melaka dan dengan mudah merembat deras masuk gol pembukaan untuk pasukan tuan rumah mendahului 1-0.
Babak kedua dimulakan dengan tiada sebarang pertukaran dari kedua-dua pasukan. Melaka terus tertekan apabila diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan pasukan Selangor. Berbelas-belas sepakan sudut diperolehi Selangor,namun masih gagal menambah koleksi jaringan.
10 minit terakhir memperlihatkan pemain Melaka sudah mula keletihan dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah yang tidak melakukan sebarang pertukaran pemain. Hasilnya, pada minit ke-84, Razman Roslan membuat lambungan jauh ke depan pintu gol Melaka untuk mencari Brian Fuentes, namun berjaya dicabar oleh penjaga gol Melaka. Bagaimanapun, bola muntah dari terkaman penjaga gol Melaka dan dari sudut yang amat sukar, Fuentes berjaya juga menjolok bola ke dalam jaring gol Melaka untuk Selangor terus di depan dengan 2-0.
Ketika masa sebenar 90 minit sudah tamat, Dollah Salleh melakukan 3 pertukaran serentak dengan memasukkan Amri Yahyah, Haris Safwan dan Nazzab Hidzan bagi menggantikan Bambang Pamungkas, Khalid Jamlus dan K.Sanbagamaran.
Tindakan Dollah itu berbaloi apabila seminit selepas dimasukkan, Amri yang berada di sebelah kiri melambungkan bola ke tengah dan ditolak masuk dengan sempurna oleh Haris Safwan untuk melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 Selangor ke atas pasukan Melaka.
Keputusan ini terus melonjakkan Selangor kembali ke persada Liga Perdana 2005 bagi Kumpulan A dengan 19 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, MK Land yang memungut 17 mata selepas 8 perlawanan.
KESEBELASAN SELANGOR:
Shahrizan Ismail, Ahmad Tharmini Saiban, Saifu Nizam Husin, Razman Roslan,D.Surendran, Shukor Adan, K.Sanbagamaran (Nazzab Hidzan), Elie Aiboy, Brian Fuentes, Khalid Jamlus (Amri Yahyah), Bambang Pamungkas (Haris Safwan).