Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.03.05

Selangor kena 'pindah rumah'

Oleh: Berita Harian

Skuad Merah Kuning terpaksa melupakan aksi di Stadium Shah Alam buat beberapa bulan andai perancangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk membaik pulih permukaan rumput dan sistem perparitan di gelanggang itu dipersetujui kerajaan negeri.

 

Sebaliknya, Selangor berkemungkinan akan beraksi di gelanggang lebih kecil di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya yang kini dijadikan Selangor PKNS sebagai gelanggang sendiri.

 

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin berkata, persatuan itu sudah mengemukakan permohonan kepada Exco Pendidikan, Sukan dan Pembangunan Insan Negeri Selangor, Datuk Mohd Nawawi Zin untuk mendapat peruntukan kira-kira RM2 hingga 3 juta bagi kerja-kerja segera membaiki pulih itu.

 

Antaranya, termasuk menggantikan rumput sedia ada dengan rumput tiruan polisintetik atau jenis rumput lain yang lebih bermutu serta membaiki sistem perparitan di sekitar stadium yang didapati sudah tersumbat sehingga menyebabkan takungan air di permukaan padang.

 

“Kami juga sudah berbincang dengan pengurusan pasukan MPPJ dan mendapat persetujuan lisan mereka kerana ia tidak membabitkan perubahan besar berikutan jadual Liga Super dan Liga Perdana dijalankan pada hari berbeza manakala Selangor juga banyak mempunyai jadual permainan di tempat lawan pada pusingan kedua dan ketiga nanti.

 

“Oleh itu, FAS berharap kerja-kerja membaik pulih ini akan dapat disiapkan dalam tempoh empat atau lima bulan dan Stadium Shah Alam dapat digunakan menjelang saingan Piala Malaysia yang dijangka menarik kunjungan lebih ramai penonton,” katanya selepas perlawanan Selangor-Melaka yang tertunda, malam kelmarin.

 

Dalam perlawanan itu, Selangor mengesahkan semula status pasukan pilihan apabila menang 3-0, selepas perlawanan asal dicemari insiden keganasan penonton yang menyaksikan bangku penonton dicabut, tong sampah dibakar dan cermin pintu dipecah apabila permainan terpaksa ditunda.

 

Biarpun ada cadangan supaya kerja-kerja membaik pulih itu ditangguhkan sehingga akhir musim, Hamidin berkata, ia wajar disegerakan kerana ia memakan tempoh agak panjang dan mungkin menjejaskan jadual perlawanan di awal musim 2006.

 

Katanya, kerja-kerja penyenggaraan di stadium bernilai hampir RM460 juta yang siap pada 1993 itu bertukar tangan beberapa kali, bermula dengan Mahir Event Sdn Bhd, Alam Arena Management Sdn Bhd dan One Silver Management Sdn Bhd yang tamat kontrak pada penghujung 2003.

 

Sejak itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Bahagian Perancangan Hartanah menguruskan stadium berkenaan tetapi kurang berkesan disebabkan kekurangan sumber kewangan dan tenaga kerja yang terhad.

 

Kata Hamidin, antara langkah jangka pendek yang diambil MBSA untuk menghalang takungan air setiap kali hujan lebat ialah pembelian dan penggunaan empat generator mengepam air serta kanvas untuk menutup permukaan padang.